
Pelabur asing teruskan belian untuk minggu kelima berturut-turut
KUALA LUMPUR,. Pelabur asing meneruskan belian mereka di Bursa Malaysia untuk minggu kelima berturut-turut, menjana aliran masuk bersih sebanyak RM615.5 juta pada minggu berakhir 19 Ogos, 2022 naik 36.3 peratus berbanding RM451.7 juta dicatatkan pada minggu sebelumnya, menurut MIDF Research.
Dalam Laporan Aliran Dana mingguannya hari ini, katanya aktiviti belian bersih oleh warga asing dilihat pada setiap hari dagangan pada minggu lepas.
“Isnin menyaksikan aliran masuk bersih sebanyak RM120.4 juta, diikuti RM163.9 juta pada Selasa, RM153.3 juta pada Rabu dan RM132.7 juta pada Khamis. Jumaat juga merupakan hari belian bersih, walaupun pada kadar lebih rendah sebanyak RM45.2 juta.
“Institusi tempatan terus menjadi penjual bersih pada setiap hari pada minggu lepas dengan jumlah aliran keluar mingguan bersih sebanyak RM675.9 juta, dengan aliran keluar bersih tertinggi dicatatkan pada Selasa sebanyak RM193.1 juta,” katanya.
Sementara itu, peruncit tempatan kekal sebagai pembeli bersih untuk minggu kedua berturut-turut dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM60.4 juta.
Mereka adalah pembeli bersih dari Isnin hingga Rabu tetapi menjadi penjual bersih pada Khamis dan Jumaat, menurut MIDF Research.
Katanya pelabur antarabangsa telah menjadi pembeli bersih selama 22 daripada 33 minggu pada 2022, dengan jumlah aliran masuk bersih sebanyak RM7.72 bilion.
“Institusi tempatan telah menjadi penjual bersih selama 26 daripada 33 minggu, dengan jumlah aliran keluar bersih sebanyak RM9.48 bilion manakala peruncit tempatan telah menjadi pembeli bersih selama 21 daripada 33 minggu pada 2022. Setakat ini, mereka mempunyai belian bersih sebanyak RM1.76 bilion.
“Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan untuk purata nilai dagangan harian (ADTV) dalam kalangan semua kelas pelabur – pelabur runcit sebanyak +21.3 peratus, pelabur institusi (+20.7 peratus) dan pelabur asing (+11.7 peratus),” katanya. – BERNAMA