KUALA LUMPUR, 13 Feb — Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), YBhg Datuk Mustaffa Kamil Ayub, hari ini menggariskan hala tuju baharu institu
KUALA LUMPUR, 13 Feb — Pengerusi Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), YBhg Datuk Mustaffa Kamil Ayub, hari ini menggariskan hala tuju baharu institusi itu melalui agenda Reformasi Pentadbiran & Pengurusan INSKEN 2026 (RAPI 2026) semasa perhimpunan bulanan bersama warga kerja.
Beliau menegaskan bahawa membangunkan usahawan Madani abad ke-21 memerlukan perubahan struktur, strategi dan budaya kerja yang lebih dinamik, sejajar dengan Agenda Reformasi Pentadbiran Negara yang dilancarkan kerajaan.
Menurut beliau, INSKEN telah mencatat peningkatan signifikan dalam sentuhan pembangunan usahawan — daripada sasaran awal 10,000 setahun kepada 13,000 pada 2024 dan dijangka mencapai 26,000 pada 2026. Dalam tempoh dua dekad, institusi itu telah membangunkan lebih 160,000 usahawan di seluruh negara.
Menangani cabaran
Datuk Mustaffa menjelaskan bahawa cabaran utama keusahawanan hari ini merangkumi pengukuhan minda keusahawanan rakyat, pengurusan kewangan peribadi dan perniagaan, pemahaman ekosistem usahawan negara, akses modal, serta keperluan ilmu yang berterusan. Beliau turut menekankan kepentingan mentor industri, penerokaan sektor kritikal masa depan dan penembusan pasaran antarabangsa di bawah gagasan “Go ASEAN, Go Global”.
Antara teras reformasi yang diumumkan termasuk:
• Penstrukturan semula organisasi agar lebih ringkas dan selari dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030
• KPI berasaskan impak sebenar, bukan sekadar jumlah program
• Transformasi usahawan M40 dan B40
• Pendigitalan dan integrasi AI
• Penjanaan hasil dan model kelestarian kewangan
• Penyelarasan nasional melalui PRIME dan pusat kecemerlangan (COE)
INSKEN juga merancang pembinaan dashboard masa nyata untuk pemantauan prestasi, integrasi data nasional, penggunaan chatbot “NadiUsahawan”, sistem padanan AI jurulatih, serta modul pembelajaran video kendiri.
Di peringkat negeri, setiap daerah bakal mempunyai Meja INSKEN sebagai pusat rujukan sehenti, manakala PRIME Daerah akan berfungsi sebagai pejabat mini pembangunan usahawan dengan sasaran menaik taraf sekurang-kurangnya 100 usahawan setahun.
Program khas turut dirangka bagi golongan ibu tunggal, OKU, belia berisiko dan veteran melalui pendekatan keusahawanan sosial berimpak tinggi.
Dalam aspek antarabangsa, INSKEN menyasarkan kerjasama multilateral termasuk kursus “ASEAN SME Leadership”, festival saudagar alam Melayu serta pensijilan bersama universiti tempatan dan luar negara.
Beliau menutup ucapan dengan menekankan bahawa nilai Usahawan Madani mesti berteraskan kemampanan, kesejahteraan, inovasi, hormat, ihsan dan integriti.
“Usahawan bukan sekadar mencari keuntungan, tetapi memastikan perniagaan membawa rahmat kepada manusia dan alam,” katanya.
-Gerbangpost

