Hakikatnya “pembersihan” merupakan sebahagian daripada tugas PM

Hakikatnya “pembersihan” merupakan sebahagian daripada tugas PM

oleh Rais Hussin

 

Sesetengah pihak telah mengecam Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang didakwa “berlagak seperti ketua pembangkang”, yang berkemungkinan berpunca daripada siasatan terhadap dakwaan pembaziran dana bernilai bilion ringgit oleh kerajaan terdahulu.

Kenyataan Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri, bahawa beliau akan berbincang dengan Ketua Polis Negara berkenaan dakwaan tersebut, telah mendapat kritikan daripada bekas penasihat PM ketika itu.

Selain itu, isu lain juga turut dibangkitkan seperti sumber pembiayaan meragukan yang dibelanjakan ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU) yang lepas dan projek mitigasi banjir bernilai RM7 bilion yang diberikan secara terus.

Seandainya segala tuduhan yang dilemparkan ini benar, semestinya pihak yang terlibat akan berasa bimbang dan tidak senang duduk seperti “cacing kepanasan”. Walaupun siasatan sedemikian mungkin meletakkan sesetengah pihak berada di kerusi “panas”, seseorang itu tetap dianggap ‘tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah’.

Jadi, mengapa perlu mencetuskan kekecohan?

Pertama sekali, kita bukan membahaskan tentang kesalahan jenayah yang remeh temeh. Ini pertuduhan serius melibatkan jumlah yang sangat mengejutkan dan ditambah pula dengan pembabitan individu-individu berpotensi yang menunjukkan betapa seriusnya perkara ini.

Kedua, walau apa sekalipun, kita tidak boleh melabelkan Anwar sebagai seorang yang tidak berkelakuan seperti PM yang “sebenar”.

Benar, tiada takrifan yang jelas untuk mendefinisikan PM yang “sebenar”, tetapi jika menanggung beban hutang negara bersama rakyat, menjadikan isu kos sara hidup sebagai keutamaan, berjuang memerangi kes skandal dan rasuah serta menguruskan perihal dinamik yang berkaitan kabinet bagi mengekalkan kestabilan bukanlah definisi yang mereka maksudkan, maka saya tidak tahu apa yang dimaksudkan.

Keengganan Anwar menerima gaji sementara menggalas dua jawatan kepimpinan serta tindakan beliau memujuk menteri-menteri menerima pengurangan gaji sebanyak 20% sebagai tanda yang menunjukkan mereka juga turut berkongsi kesusahan ekonomi yang dirasai rakyat pula secara tidak langsung menetapkan standard yang tinggi.

Tambahan lagi, inisiatif menurunkan harga telur di pasaran serta langkah yang dirancang untuk memastikan bekalan telur dalam negara mencukupi dapat diperhatikan dalam tempoh masa yang singkat.

Bukan itu sahaja, pentadbiran Anwar juga telah berjaya mengurangkan cabutan khas nombor ramalan kepada 8 kali setahun berbanding 22 kali setahun yang diluluskan ketika pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional kerana perjudian memberikan kesan negatif kepada masyarakat.

Ini termasuklah dari segi ketagihan, kemuflisan, jenayah, isu kekeluargaan seperti perceraian serta keganasan rumah tangga, dan malah isu bunuh diri. Ini adalah untuk kebaikan semua masyarakat.

Anwar juga tidak terlepas pandang sedikit pun akan kemungkinan wujudnya kes penyalahgunaan kewangan, skandal atau rasuah. Semua isu ini masih di bawah pemerhatiannya sebagai PM dan Menteri Kewangan meskipun dalam masa yang sama perlu memberikan tumpuan dan perhatian kepada rakyat.

Ringkasnya, berbeza dengan apa yang diperkatakan oleh mereka, tidak dapat disangkal lagi bahawa ini merupakan salah satu tanggungjawab yang perlu dipikul oleh PM.

Tidak wajar jika kita semua beranggapan bahawa mendedahkan skandal, rasuah serta membanteras sindiket dan kartel adalah peranan tunggal pemimpin pembangkang semata. Peranan ini malahan perlu dimainkan oleh semua termasuklah ahli-ahli parlimen terutamanya PM dan Menteri Kewangan.

Pepatah Inggeris ada menyebut seekor ikan akan membusuk bermula dari kepala hingga ke bawah, bukan dari ekornya dan begitu juga dengan masyarakat. Anwar masih berpegang teguh dengan prinsip yang menolak rasuah, prinsip yang perlu dimiliki oleh semua ahli politik dan beliau sepatutnya menjadi individu yang berjaya mengubah budaya tersebut yang kian berleluasa di negara ini.

Bermula dari sekarang, budaya baru yang bermula dari atas mesti dibentuk di mana benih perubahan jangka panjang disemai serentak dengan penyelesaian ekonomi jangka pendek.

Kritikan sedemikian mengundang beberapa persoalan seperti: Adakah ini kali pertama sesetengah orang mengenali Anwar? Tidak diragukan lagi Anwar tetap akan perjuangkan reformasi dengan mendedahkan skandal serta menamatkan segala bentuk rasuah sama ada orang suka atau tidak.

Apabila Pakatan Harapan dipilih untuk memegang tampuk kuasa, mereka perlu melunaskan segala janji yang diberikan kerana perlu diingat bahawa reformasi adalah mesej utama yang dibawa mereka serta dalam manifesto ketika kempen pilihan raya lepas.

Apatah lagi sepertimana yang ditunjukkan oleh Pakatan Harapan yang telah memperoleh undi popular tertinggi, ramai pengundi yang mahukannya.

Dalam erti kata lain, mereka bukan sahaja menghormati keinginan dan kehendak rakyat, malah masih berpegang kepada matlamat utama mereka.

Melangkah ke hadapan, tumpuan pentadbiran Anwar perlu diberikan kepada “Agenda Inovasi” (AI) yang berupaya memanfaatkan mandat baharu dengan menyasarkan kepada permasalahan sosial, institusi dan ekonomi yang memperuntukkan perhatian segera kerajaan.

Fokus AI perlulah kepada:

 

  1. Perpaduan dan Toleransi: Kebaikan bersama masyarakat boleh dicapai dengan perkongsian identiti secara bersama.

 

  1. Ketelusan Menyeluruh dan Tadbir Urus yang Baik: Gerakan ‘Reformasi’ Anwar menyeru kepada pembentukan semula institusi dan peralihan kepada penggunaan dana kerajaan berorientasikan impak yang bertumpu kepada hasil dan keputusan.

 

  1. Pengurangan Kos: Keutamaan pentadbiran ialah menghapuskan ketidakcekapan dan merungkai monopoli, dengan penekanan terhadap rantaian nilai yang diterhadkan kelulusan permit seperti beras, gula dan produk pertanian lain.

 

  1. Sekuriti Makanan: Bagi memajukan pertanian, perikanan dan ternakan sebagai industri inovasi, kerajaan dan GLC terlibat dalam sektor pertanian disarankan mengambil inisiatif dalam membiayai serta menggalakkan penggunaan teknologi maju dan mampan.

 

  1. Transformasi Digital: Syarikat pemula (startup) tempatan bukan sahaja bertindak mengenalpasti komuniti dan ekosistem yang berkembang maju tetapi juga berfungsi sebagai landasan untuk menyertai pasaran digital di Asia Tenggara. Syarikat pemula tempatan harus digandakan dengan IP dari sumber antarabangsa dan pemindahan pengetahuan.

 

  1. Teknologi ‘Sunrise’: Tidak lama lagi, firma teknologi bersih akan mengatasi syarikat gergasi teknologi menjadi perniagaan terbesar di dunia. Kewujudan ancaman disebabkan perubahan iklim memaksa orang ramai bermuhasabah diri akan cara mereka mengimbangi teknologi dengan persekitaran mereka.

 

  1. Pelaburan Asing: Status Malaysia sebagai lokasi pelaburan pilihan dilihat semakin merosot. Membangunkan pasaran awam dan swasta serta pertukaran sangat penting untuk menarik modal antarabangsa yang menginginkan pulangan pelaburan bernilai tinggi, berkualiti tinggi dan berteknologi tinggi.

 

Mengukuhkan kedudukan dan prestasi Malaysia sebagai destinasi pelancongan adalah penting untuk membawa masuk pelaburan asing. Oleh itu, pemahaman yang menyeluruh dan jelas berkaitan pelancongan, seni dan budaya amat perlu supaya kita dapat mengiktiraf industri kreatif negara.

Agenda Inovasi (AI) yang diperkenalkan oleh pentadbiran baharu perlu mempunyai usaha yang komprehensif di mana inisiatif menukarkan sistem lama dan tidak berfungsi yang menimbulkan masalah dalam masyarakat, institusi dan ekonomi – bagi menggantikan ekploitasi melalui pemerkasaan agar dapat memenuhi keperluan rakyat dengan lebih baik.

Oleh itu, pentadbiran Anwar mempunyai hala tuju yang jelas. Serentak dengan kerajaan mengendalikan segalanya, pembersihan masih lagi menjadi keutamaan.

Bagi mengelakkan masalah yang telah lama melanda negara berulang kembali, pemupukan budaya benci rasuah mesti diterapkan dalam diri masyarakat.

Penerapan budaya yang bermula dari pihak atasan perlu diwujudkan kerana membentuk semula institusi kerajaan dengan tadbir urus yang betul serta berintegriti memerlukan kesedaran bahawa ini bukanlah “sekadar kerajaan lain”. Ini kerana, jika kita melakukan perkara yang sama dan mengharapkan hasil yang berbeza, ianya hanya disifatkan sebagai suatu bentuk kegilaan, sepertimana yang dikatakan Einstein.

Pentadbiran Anwar sebaliknya perlu mewakili perubahan ke arah pembentukan sebuah sistem yang lebih telus dan terbuka, bukannya sistem rahsia untuk golongan elit sahaja. Perjuangan ini sangat penting walaupun akan berdepan tentangan dari pelbagai pihak.

Tuntasnya, semua ini adalah sebahagian daripada rancangan di mana jangkaan dan garis masa akan ditetapkan kemudian. Maka, biarkanlah sahaja proses penetapan semula Malaysia berjalan mengikut perancangan.

 

Dr Rais Hussin adalah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EMIR Research, sebuah organisasi pemikir bebas yang berfokuskan kepada pencernaan saranan-saranan dasar strategik berteraskan penyelidikan yang terperinci, konsisten dan menyeluruh

 

Artikel yang ditujukan oleh penulis tidak terikat dengan Gerbang Post dan pendapat penulis tersendiri

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )