SIBU: Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat KTS Temengggung Dato Vincent Lau Lee Ming menyeru kakitangan Kumpulan KTS agar mengekalkan tahap kesi
SIBU: Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat KTS Temengggung Dato Vincent Lau Lee Ming menyeru kakitangan Kumpulan KTS agar mengekalkan tahap kesihatan fizikal dan mental yang baik dengan mengamalkan senaman serta melibatkan diri dalam aktiviti sukan.
Berucap pada pertandingan bola keranjang sempena Karnival Sukan KTS, beliau berkata program tahunan itu diadakan bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan kakitangan tentang kepentingan bersenam dan menjalani gaya hidup aktif.
“Saya sedar bahawa amai kakitangan bekerja di dalam pejabat berhawa dingin dan jarang berpeluang melakukan aktiviti fizikal.
“Adalah sangat penting untuk kita melakukan senaman bagi memastikan diri sentiasa cergas dari segi mental dan fizikal,” katanya.
Pertandingan bola keranjang merupakan salah satu daripada acara Karnival Sukan KTS 2025 anjuran Kelab KTS Sibu di Sekolah Menengah (SM) Wong Nai Siong di sini, hari ini.
Lau berkata syarikat sentiasa menyokong penganjuran aktiviti sukan dengan memberi kebenaran kepada kelab dan jawatankuasa penganjur untuk menyewa kemudahan sukan bagi aktiviti seperti bola keranjang, badminton dan pingpong.
“Saya berharap semua kakitangan dapat memanfaatkan kemudahan atau faedah yang disediakan oleh syarikat,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa penyertaan dalam pertandingan bola keranjang tahun ini tidak begitu menggalakkan dengan kebanyakan peserta datang daripada BLD.
“Saya berharap kakitangan dari syarikat lain seperti KTS Trading dan SBFM turut serta menyertai aktiviti sukan yang dianjurkan,” katanya.
Menurut beliau, tahap kecergasan yang baik bukan sahaja penting untuk kesihatan peribadi tetapi juga bagi memastikan prestasi kerja yang lebih baik.
“Apabila seseorang itu berlebihan berat badan, sudah tentu dia tidak dapat melaksanakan tugas sebagaimana yang diharapkan syarikat.
“Jadi ini penting, bukan sahaja untuk kesihatan diri tetapi juga untuk prestasi kerja,” katanya.
Beliau turut berkongsi bahawa beliau sendiri berusaha kekal aktif dengan berjalan kaki selama setengah jam setiap hari sebagai rutin senaman harian.
Dalam pada itu, beliau menyeru kakitangan supaya mempunyai matlamat bukan sahaja dalam pekerjaan, tetapi juga dalam menjaga kesihatan diri.
“Seseorang yang tidak mempunyai aspirasi atau sasaran hanya akan kekal biasa-biasa. Kita mahu semua kakitangan mencapai kecemerlangan, sama ada dalam pekerjaan, kehidupan peribadi mahupun kesihatan,” katanya.
Hadir sama Pengerusi Kelab KTS Michael Ting.
-Agensi


COMMENTS