Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan pagi ini

HomeFeaturedBusiness

Bursa dibuka tinggi pada awal dagangan pagi ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, disokong minat belian baharu apabila Malaysia dilihat berpotensi meraih manfaat daripada peningk

Bursa dibuka tinggi pada pagi ini
Bursa dibuka rendah pada pagi ini
Bursa Malaysia dibuka tinggi pada awal pagi ini

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia dibuka tinggi pagi ini, disokong minat belian baharu apabila Malaysia dilihat berpotensi meraih manfaat daripada peningkatan pelaburan dalam pusat data susulan reputasinya sebagai hab strategik dan selamat.

Sentimen positif itu turut diperkukuh oleh prestasi pendapatan syarikat gergasi cip Amerika Syarikat (AS), Intel Corp, yang mengatasi jangkaan pasaran.

Pada jam 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.33 mata kepada 1,724.67 daripada 1,720.34 ketika ditutup pada Jumaat lalu.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, walaupun rundingan AS-Iran yang dirancang di Pakistan dijangka tidak diteruskan, Malaysia kekal berada pada kedudukan baik untuk mendapat manfaat daripada peningkatan pelaburan berkaitan pusat data.

“Trend ini dijangka menarik lebih banyak penyedia perkhidmatan awan (CSP) utama yang menawarkan perkhidmatan pengkomputeran, storan dan pengurusan data berprestasi tinggi kepada perusahaan.

“Ini amat jelas apabila prestasi pendapatan Intel yang mengatasi jangkaan baru-baru ini,” menurut firma penyelidikan itu.

Indeks penanda aras memulakan dagangan dengan meningkat 4.13 mata kepada 1,724.47.

Sentimen pasaran secara keseluruhan positif apabila kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 368 berbanding 295, manakala 407 kaunter tidak berubah, 1,678 tidak diniagakan dan 67 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 613.13 juta unit bernilai RM303.71 juta.

Rakuten Trade Sdn Bhd menjangkakan aktiviti pembelian saham akan berterusan di bursa tempatan, dengan indeks penanda aras diunjur bergerak dalam julat 1,715 hingga 1,730 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing meningkat dua sen kepada RM11.18 dan RM4.83, manakala Tenaga Nasional susut empat sen kepada RM14.62.

CIMB kekal mendatar pada RM7.80, sementara IHH Healthcare berkurangan tiga sen kepada RM8.79.

Dalam kalangan saham aktif, Luster Industries naik 1.5 sen kepada 5.5 sen, Jentayu Sustainable menambah setengah sen kepada 29.5 sen, AMS Advanced meningkat 3.5 sen kepada 38 sen dan Velesto menokok setengah sen kepada 32.5 sen, manakala VS Industry tidak berubah pada 22.5 sen.

Kaunter paling untung diterajui Nestle yang melonjak RM1.80 kepada RM101.10, diikuti Malaysian Pacific Industries yang menambah RM1.06 kepada RM38.90, Telekom Malaysia naik 32 sen kepada RM7.42 dan Press Metal menokok 29 sen kepada RM8.71.

Bagi kaunter rugi, United Plantations susut 14 sen kepada RM32.18, Chin Teck Plantations turun 12 sen kepada RM10.68, Padini berkurangan lapan sen kepada RM1.47 dan Sarawak Oil Palms merosot enam sen kepada RM4.69.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 75.59 mata kepada 12,791.31, Indeks FBMT 100 naik 77.97 mata kepada 12,627.27, Indeks FBM Emas Shariah menambah 98.47 mata kepada 12,685.08 dan Indeks FBM 70 melonjak 115.20 mata kepada 18,187.63.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE susut 4.44 mata kepada 4,647.88.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 32.19 mata kepada 20,254.94, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan naik 2.90 mata kepada 195.26, Indeks Tenaga bertambah 3.56 mata kepada 833.87, manakala Indeks Perladangan menokok 36.98 mata kepada 8,852.24.

–BERNAMA