Isu Penjualan Tanah Warisan: Kementerian Sumber Asli Mulakan Siasatan

Isu Penjualan Tanah Warisan: Kementerian Sumber Asli Mulakan Siasatan

PUTRAJAYA: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) kini sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan sebuah keluarga yang kehilangan hampir RM500,000 selepas tanah warisan mereka didakwa dijual tanpa kebenaran oleh pihak yang tidak dikenali. Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, menegaskan bahawa kementeriannya serius dalam menangani isu ini dan akan mengambil tindakan yang tegas jika terdapat bukti yang menunjukkan sebarang bentuk kesalahan.

“Kes ini sedang disiasat dengan teliti kerana ia bukanlah perkara baharu. Terdapat beberapa kes lain yang melibatkan pejabat tanah di peringkat negeri dan daerah,” kata beliau dalam sidang media selepas Persidangan Akademi Hijau, yang turut dihadiri oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.

Dakwaan ini muncul selepas laporan media mendedahkan bahawa seorang waris mendakwa tanah yang diwarisi dari bapanya di Sungai Merab, Dengkil, Selangor telah dijual oleh individu yang tidak dikenal pasti, dipercayai melalui proses pemindahan hak milik yang tidak sah.

Nik Nazmi juga memaklumkan bahawa kerajaan telah memperkenalkan platform digital e-Tanah sebagai langkah proaktif untuk meningkatkan proses pengurusan tanah secara dalam talian dan sekaligus mengurangkan peluang berlakunya penipuan.

“Sistem e-Tanah kini dijalankan secara digital, menjadikannya lebih sukar untuk dipalsukan. Proses yang sebelum ini menggunakan dokumen fizikal kini lebih selamat, sekali gus mengurangkan risiko penipuan atau manipulasi tandatangan,” jelasnya.

Menurut beliau, sistem e-Tanah kini telah diterapkan di beberapa Pejabat Tanah dan Galian negeri dan akan diperluas ke seluruh Semenanjung Malaysia dalam masa terdekat.

Setakat 31 Julai lalu, e-Tanah telah dilaksanakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, dan Labuan, serta di negeri Perak dan Selangor sejak tahun 2017.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )