Pas tuntut kajian semula cukai eksais ke atas OMV bagi kereta CKD

Pas tuntut kajian semula cukai eksais ke atas OMV bagi kereta CKD

KUALA LUMPUR: Pas mendesak agar kerajaan mengkaji semula pelaksanaan semakan cukai eksais berdasarkan nilai pasaran terbuka (OMV) terhadap kereta pemasangan tempatan (CKD), yang dijangka menyebabkan kenaikan harga antara 10 hingga 30 peratus.

Menurut Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Konsumer dan Kepenggunaan Pas, Khairil Nizam Khirudin, pelaksanaan cukai yang dirancang bermula tahun depan ini berpotensi memberi kesan besar kepada pengguna dan juga industri automotif tempatan.

Khairil Nizam menegaskan bahawa langkah semakan cukai ini mungkin mengancam daya saing syarikat automotif tempatan, terutama yang terlibat dalam pemasangan kereta secara CKD. Beliau juga menyifatkan langkah ini boleh merencatkan usaha Malaysia untuk menjadi pusat pengeluaran automotif yang lebih kompetitif di ASEAN.

Dalam kenyataannya di media sosial, beliau berkata, “Kenaikan cukai ini pastinya akan memberi kesan kepada pengguna, terutamanya dalam sektor pengangkutan yang merupakan keperluan asas rakyat.”

Selain itu, beliau turut mengkritik kerajaan atas peningkatan cukai-cukai lain seperti cukai jualan dan perkhidmatan (SST), cukai digital, dan cukai ke atas barangan tertentu, serta perubahan terhadap subsidi diesel, yang katanya turut meningkatkan kos sara hidup rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana. “Kerajaan perlu menepati janji yang dibuat dalam pilihan raya dan tidak terus membebankan rakyat,” tambahnya.

gerbangpost.com

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )