PETRONAS, Energy Institute berpusat di UK bekerjasama pacu peralihan tenaga

PETRONAS, Energy Institute berpusat di UK bekerjasama pacu peralihan tenaga

KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) memeterai perjanjian bagi menjalin kerjasama dengan Energy Institute (EI) yang berpusat di United Kingdom (UK) untuk memacu peralihan tenaga.

Kerjasama itu menjadikan PETRONAS sebagai syarikat pertama yang beribu pejabat di Asia Tenggara menyertai badan keahlian profesional tersebut sebagai rakan teknikal.

Perjanjian berkenaan dimeterai baru-baru ini pada Minggu Tenaga Antarabangsa (IEW) di London, UK.

Majlis memeterai perjanjian itu dihadiri Naib Presiden Kanan PETRONAS bagi penyampaian projek dan teknologi, Mohd Yusri Mohamed Yusof; Pengurus Besar Kanan PETRONAS bagi strategi dan perkhidmatan korporat, penyampaian projek dan teknologi, Abang Jimmy Abang Mordian; Ketua Pegawai Eksekutif EI, Dr Nick Wayth dan Pengarah Teknikal EI, Martin Maeso.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mohd Yusri berkata, seiring dengan usaha PETRONAS untuk membina ekosistem inovasi yang menyokong hasrat sifar karbon di Asia, kerjasamanya dengan EI menggabungkan kepakaran, sumber dan komitmen untuk memacu kemajuan ke arah masa depan tenaga yang mampan dan berdaya tahan.

“Memenuhi sasaran sifar karbon di Asia penting untuk matlamat global selain melalui kerjasama berkenaan, kami menyasarkan untuk memperkasa sektor tenaga di rantau ini dengan pengetahuan serta rangkaian yang diperlukan untuk peralihan yang adil dan bertanggungjawab,” katanya.

Sementara itu, Dr Nick Wayth berkata EI memberi tumpuan untuk menyokong peralihan global yang adil kepada sifar karbon selain mengakui peranan PETRONAS sebagai rakan teknikal terbaharunya dalam inisiatif ini.

“Kerjasama baharu ini menjadi teras kepada aktiviti masa depan EI yang menyokong dan memperlengkap sektor tenaga di Malaysia, seluruh rantau Asia Pasifik dan secara global,” katanya.

PETRONAS berkata kerjasama berkenaan menegaskan komitmen syarikat bagi memajukan peralihan tenaga di Asia selain menjadi kunci memacu kemajuan dalam mengkomersialkan teknologi pengurangan pelepasan karbon, pembangunan infrastruktur, pembiayaan peralihan dan meningkatkan bakat kemahiran untuk peralihan tenaga yang terangkum.

Syarikat minyak dan gas nasional itu berkata, ia akan membantu membentuk program masa depan melalui kedudukannya dalam Jawatankuasa Penasihat Saintifik dan Teknikal Institut Tenaga (EI-STAC) iaitu sebuah jawatan kuasa dalam EI yang membimbing piawaian industri dan kemajuan teknologi.

Katanya, kerjasama ini akan memberi tumpuan kepada tiga tonggak utama iaitu menggalakkan pengurangan karbon dan kecemerlangan operasi melalui inovasi.

Selain itu menyokong pembuatan keputusan yang bermaklumat dengan nasihat pakar mengenai dasar dan impak sosial serta membangunkan generasi profesional tenaga seterusnya membantu sektor ini menyesuaikan diri dengan perubahan yang pesat.

“Seiring dengan matlamat kelestarian global, PETRONAS dan EI bersedia untuk bersama-sama menghasilkan penyelesaian tenaga mampan sambil menangani peluang dan cabaran kritikal yang ditimbulkan oleh peralihan tenaga,” kata PETRONAS.

-Bernama

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )