
Operasi JPJ Sepanjang Aidilfitri, Fokus Keselamatan Penunggang Motosikal
BATU KAWAN, 15 Mac 2025 – JPJ Pulau Pinang mengumumkan operasi penguatkuasaan khas sepanjang musim perayaan Aidilfitri bagi mengurangkan kemalangan, terutama melibatkan penunggang motosikal di Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS).
Menurut Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail, operasi ini akan memberi tumpuan kepada laluan Seberang Perai Utara, Seberang Perai Selatan, dan Barat Daya Pulau Pinang, yang dikenal pasti sebagai kawasan kerap berlaku kemalangan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif JKSB, Datuk Faisal Shahbudin, mengingatkan bahawa penunggang motosikal wajib menggunakan lorong khas yang telah disediakan di JSAHMS bagi memastikan keselamatan mereka.
“Kami telah mengenal pasti bahawa banyak kemalangan berlaku kerana penunggang motosikal tidak menggunakan laluan khas yang disediakan. Tahun lalu, terdapat kes kemalangan maut akibat kecuaian ini,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif keselamatan, JKSB telah mengagihkan jaket pantul cahaya serta alat pemadam api mini kepada pengguna jalan raya dalam usaha menggalakkan keselamatan yang lebih ketat sepanjang musim perayaan ini.