
Kerajaan Pilih Melaka sebagai Tuan Rumah Tahun Melawat Malaysia 2026
MELAKA, 21 Mac 2025 – Kerajaan secara rasmi memilih Melaka sebagai tuan rumah sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), satu langkah yang dijangka mengangkat industri pelancongan negara ke tahap lebih tinggi.
Pengumuman itu dibuat oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing, yang mengesahkan bahawa kerajaan telah meluluskan peruntukan khas untuk persiapan acara ini, yang akan dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan negeri Melaka.
“Kami telah bersetuju dengan keputusan ini, termasuk Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Acara pelancaran rasmi akan diadakan sempena Hari Pelancongan Sedunia pada bulan September,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Program Libat Urus Bersama Penggiat Industri Pelancongan Melaka 2025 di Bukit Cina.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, bersama lebih 1,000 penggiat industri pelancongan turut hadir dalam program tersebut.
Datuk Seri Tiong menyeru semua pihak untuk berganding bahu dalam mempromosikan TMM2026, dengan memanfaatkan pelbagai platform, termasuk media sosial, agar industri pelancongan terus berkembang dan memberikan impak ekonomi positif kepada rakyat.