Bursa dibuka bercampur – campur Pada awal Dagangan

Bursa dibuka bercampur – campur Pada awal Dagangan

KUALA LUMPUR,. Bursa Malaysia memulakan dagangan dalam keadaan bercampur-campur hari ini berikutan aktiviti pasaran yang lengang susulan minggu dagangan singkat dan kebimbangan pelabur menjelang pengumuman tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 4.38 mata kepada 1,518.03 daripada 1,513.65 pada penutupan Jumaat lalu. Indeks utama dibuka lebih tinggi pada 1,517.14.

Pasaran menyaksikan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 220 berbanding 118, manakala 264 kaunter tidak berubah, 1,749 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung. Jumlah dagangan sebanyak 122.0 juta unit bernilai RM101.50 juta.

Menurut Malacca Securities, pelabur dijangka memberi tumpuan kepada sektor yang kurang terjejas oleh tarif AS, seperti utiliti serta produk dan perkhidmatan pengguna.

“Selain itu, mereka juga boleh mempertimbangkan tawaran awam permulaan (IPO) CUCKOO International (MAL) Bhd yang mempunyai jenama kukuh dan sedang mengembangkan portfolio produknya bagi meningkatkan penguasaan pasaran di Malaysia,” katanya dalam nota penyelidikan.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank naik lapan sen kepada RM10.20, Public Bank menokok satu sen kepada RM4.43 dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) meningkat 12 sen kepada RM13.50. CIMB turut menambah dua sen kepada RM7.02, namun IHH Healthcare susut lima sen kepada RM6.87.

Sementara itu, kaunter aktif menyaksikan Velocity Capital meningkat 1.5 sen kepada 10.5 sen, Bina Puri naik 0.5 sen kepada 33 sen dan Avangaad melonjak satu sen kepada 29 sen. Ucrest dan Borneo Oil masing-masing kekal pada 10 sen dan satu sen, manakala Elridge Energy merosot 0.5 sen kepada 46 sen.

Indeks FBM Emas naik 14.16 mata kepada 11,362.20, manakala Indeks FBMT 100 meningkat 17.24 mata kepada 11,120.36. Indeks FBM Emas Shariah turut mencatat kenaikan 3.25 mata kepada 11,127.66.

Bagaimanapun, Indeks FBM 70 merosot 33.59 mata kepada 16,242.50 dan Indeks FBM ACE susut 31.88 mata kepada 4,777.04.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan mengukuh 67.51 mata kepada 18,451.72, manakala Indeks Perladangan melonjak 15.52 mata kepada 7,453.25. Sebaliknya, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.63 mata kepada 152.64, sementara Indeks Tenaga susut 2.39 mata kepada 755.59.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This