
Gunung Semeru meletus tiga kali dalam 11 minit, kini pada tahap II waspada
LUMAJANG,. Gunung Semeru di Kabupaten Lumajang, Jawa Timur, Indonesia, kembali meletus pada Selasa, lapor Kompas.com.
Pos Pemantauan Gunung Api (PPGA) Semeru di Gunung Sawur melaporkan gunung tersebut mengalami tiga letusan berturut-turut dalam tempoh 11 minit.
Letusan pertama berlaku pada jam 8.47 pagi waktu Indonesia Barat (WIB) dengan kolum abu setinggi 400 meter menghala ke barat daya.
Dua minit kemudian, letusan kedua mencatatkan ketinggian kolum abu sehingga 600 meter, diikuti letusan ketiga pada jam 8.58 pagi dengan kolum abu setinggi 400 meter ke arah yang sama.
Petugas PPGA Semeru, Liswanto, memaklumkan bahawa dua letusan tambahan berlaku pada jam 1.38 pagi dan 10.33 pagi, namun tidak dapat diamati secara visual kerana gunung tersebut dilitupi kabus tebal.
Pada Isnin, PPGA merekodkan 46 letusan dalam tempoh 24 jam, walaupun beberapa letusan tidak dapat dilihat akibat keadaan berkabus.
Menurut Yudhi Cahyono, Kepala Bidang Kedaruratan dan Logistik BPBD Kabupaten Lumajang, status Gunung Semeru kini berada pada tahap II (waspada).
Penduduk diingatkan untuk tidak melakukan aktiviti sejauh 8 kilometer di sepanjang Besuk Kobokan dan menjauhi sekurang-kurangnya 500 meter dari tebing sungai. Keadaan hujan lebat yang kerap melanda meningkatkan risiko banjir lahar.
Mereka juga disaran berwaspada terhadap ancaman awan panas, lava, dan aliran lahar.