Pelbagaikan pakej, jadikan Malaysia destinasi pelancongan tunggal – KP Tourism Malaysia

Pelbagaikan pakej, jadikan Malaysia destinasi pelancongan tunggal – KP Tourism Malaysia

KUALA NERUS,. Pemain sektor pelancongan negara disaran mempelbagaikan pakej yang ditawarkan bagi membolehkan Malaysia menjadi destinasi pelancongan tunggal.

Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Manoharan Periasamy berkata pekara itu merupakan antara dapatan diterima pihaknya ketika rangka promosi Tahun Melawat Malaysia 2026 di Hanoi, Vietnam baru-baru ini.

“Sekarang kebanyakan pakej pelancongan yang ditawarkan pengusaha kita ialah Malaysia-Singapura-Thailand…iaitu kombinasi tiga destinasi. Dia datang ke Kuala Lumpur (KL) dan terus ke Singapura. Sedangkan, di Malaysia mereka boleh jelajah dari Johor sampai ke Perlis.

“Bukan sahaja ke KL lalu ke negara lain, (tetapi) kita nak dia pergi ke Terengganu dan Kelantan misalnya. Kita nak jadikan Malaysia sebagai destinasi tunggal. Kita nak tingkatkan tempoh mereka berada di Malaysia untuk tambah pendapatan negara. Bukan nak dapatkan jutaan pelancong yang masuk tapi cuma duduk untuk dua malam,” katanya sidang media selepas Sesi Libat Urus bersama Penggiat Industri Pelancongan Terengganu, di sini hari ini.

Justeru, Manoharan berkata pihaknya kini sedang mengetengahkan konsep pelancongan berasaskan pengalaman, seperti pengalaman mencadat sotong yang bermusim di Terengganu iaitu sesuatu yang hanya boleh didapati di Malaysia.

“Macam slogan iklan Mastercard iaitu priceless. Anda hanya boleh candat sotong di Malaysia. Anda tidak akan dapat pengalaman itu di China atau Thailand. Ia satu detik yang tidak ternilai. Jadi, itu yang kita nak ketengahkan.

“Kalau datang ke Terengganu, jangan pergi beli sotong di pasar, tapi anda naik bot, pergi tangkap sotong tengah laut. Ini yang orang akan ingat, kemudian mereka akan bercakap. Habis musim ini, anda kena tunggu musim seterusnya, jadi di situ kita sudah boleh jual pakej,” katanya.

Manoharan sekali gus menggalakkan pengusaha tempatan untuk tidak lagi sekadar menawarkan pakej yang mudah seperti berkunjung ke Genting Highland dari KL, sedangkan peluang untuk membangunkan pakej seperti aktiviti lasak di Gopeng, melihat Blue Oceans di Kuala Kangsar dan menikmati Sky Mirror di Kuala Selangor disifatkannya sangat besar.

Dalam pada itu, beliau berkata negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand, Brunei dan Filipina menjadi antara negara utama dalam memenuhi sasaran kemasukan 45 juta pelancong ke Malaysia tahun ini, berikutan jarak pasaran jiran dan serantau itu yang dekat dan kemudahan untuk merancang perjalanan dalam tempoh singkat.

“…kemudian, pasaran jarak sederhana seperti China, India dan negara Timur Tengah. Pasaran jarak jauh pun ada tetapi itu mengambil masa sebab kalau (pelancong) nak rancang datang cuti daripada pasaran jarak jauh seperti Europe dan US (Amerika Syarikat), dia kena buat perancangan tiga ke empat bulan.

“Jadi, yang dekat ini (negara jiran dan serantau) yang kita nak masuk apa yang kita panggil sebagai low-lying fruits,” katanya menambah pihaknya komited untuk menjual pengalaman yang bermusim seperti mencandat sotong di Terengganu, dengan keutamaan kepada negara-negara yang boleh memberi pulangan yang cepat seperti negara ASEAN.

Justeru, beliau berkata Tourism Malaysia akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk merancakkan sektor pelancongan Terengganu termasuk usaha menarik penerbangan terus dari luar negara seperti di Sabah, Johor dan Pulau Pinang yang menerima kemasukan langsung pelancong antarabangsa.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )