
Samsung perkenalkan Galaxy S20 di Malaysia
KUALA LUMPUR,. Samsung Electronics Co Ltd telah memperkenalkan telefon pintar yang pertama dengan 5G melalui pelancaran varian Galaxy S20 ultra di ibukota hari ini.
Presiden Samsung Malaysia Electronics Yoonsoo Kim berkata ciri-ciri menarik telefon ini terletak pada fungsi kamera, ia mempunyai sistem kamera yang baharu sepenuhnya, disokong oleh kecerdasan buatan (AI) dan sensor imej terbesar.
“Kami percaya melalui lensa Galaxy S20, pengguna akan dapat menzahirkan cerita mereka dengan kejelasan memandangkan produk kami hampir mampu menggantikan peralatan bertaraf profesional,” katanya.
Samsung melancarkan tiga model S20 yang baharu iaitu Galaxy S20 dengan paparan 6.2 inci dan pemasangan tiga lensa kamera di belakang, Galaxy S20 ini didatangkan dengan paparan 6.7 inci, manakala Galaxy S20 ultra dengan paparan 6.9 inci, kedua-duanya memaparkan sistem kamera kuad belakang.
Galaxy S20 dilengkapi dengan ciri ‘Zoom’ yang boleh fokus sehingga 30 kali dengan kejelasan yang penuh, serta ciri alat pengambilan tunggal kamera yang membolehkan pengguna untuk merakamkan imej sama ada melalui gambar dan video dengan mod serentak.
Selain itu, ia juga telah memperkenalkan Galaxy S20 Ultra yang diperkasakan dengan teknologi AI, pemprosesan pelbagai imej bagi mengurangkan kehilangan kualiti pada tahap ‘Zoom’ yang sangat tinggi untuk pengguna mengalami sendiri resolusi ‘Super Zoom’ sehingga 100 kali.
Harga bagi varian S20 bermula daripada RM3,599.
Bersempena dengan pelancaran hari ini, Samsung juga akan memperkenalkan S20 dalam siri pameran mulai 6 hingga 8 Mac di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor Bahru, Kuantan dan Kota Kinabalu.
— BERNAMA