
HFMD Catat Kenaikan 266%, KKM Tegaskan Kepentingan Kebersihan
PUTRAJAYA — Sehingga 26 April lalu, sebanyak 99,601 kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) dilaporkan di seluruh negara, melonjak 266 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Daripada jumlah itu, 10 peratus berkait dengan wabak manakala bakinya berlaku secara sporadik. Selangor kekal merekodkan kes tertinggi, diikuti Johor, Perak, Kelantan dan Wilayah Persekutuan.
KKM turut melaporkan 2,649 wabak telah dikesan, dengan taska, tadika dan prasekolah menjadi penyumbang utama kepada penularan. Sehubungan itu, 1,140 premis telah diarahkan tutup, selain 430 lagi yang ditutup secara sukarela.
KKM menyeru masyarakat agar lebih berwaspada dan mematuhi langkah pencegahan, seperti mencuci tangan dan tidak berkongsi barangan peribadi, bagi mengekang penularan HFMD.