
KDN komited tambah baik aset PDRM dan agensi – Saifuddin Nasution
IPOH,. Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited untuk terus menambah baik aset pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi di bawah kementerian itu, kata menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata ia termasuk meningkatkan ciri keselamatan kenderaan pasukan bagi mengelak sebarang risiko.
“Kita (KDN) punya tanggungjawab untuk mengambil langkah-langkah penambahbaikan pada masa hadapan.
“Perkara itu menjadi keutamaan, namun insiden semalam (nahas FRU) masih terlalu awal untuk buat andaian, kejadian mungkin kerana kesalahan manusia itu biar pasukan (polis) buat siasatan dulu,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menziarahi waris anggota FRU Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif iaitu antara sembilan yang terkorban dalam kemalangan melibatkan kenderaan pasukan FRU dan lori membawa muatan batu di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan semalam.
Pada lawatan itu, Saifuddin Nasution menyantuni ibu mentua Damarrulan, Zamilah Mohd Nor, 65, balu Haswati Rosdi, 44, serta tiga anaknya di Kuarters FRU Unit 5, Sungai Senam di sini.
Menjawab pertanyaan pemberita berkaitan trak FRU yang didakwa tidak mempunyai ciri keselamatan tinggi, Saifuddin Nasution berkata ia merupakan kenderaan tempur yang mempunyai ciri-ciri khas untuk pasukan bergerak pantas bagi kerja-kerja penyelamatan.
“Jadi ada kelebihan dan kekurangan, maksudnya kalau mereka (pasukan FRU) digerakkan untuk satu insiden, satu dua saat itu sangat bernilai… maknanya bayangkan kalau berlaku apa-apa peristiwa memakan dua, tiga saat menanggalkan (tali pinggang keledar) itu pun perlu diambil kira.
“Semua itu saya serahkan dahulu kepada pasukan yang punya kepakaran tetapi biar saya sebut bahawa komitmen untuk penambahan aset pasukan itu adalah usaha yang kami (KDN) buat secara berterusan,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata kenderaan pasukan PDRM mempunyai rekod penyelenggaraan yang baik walaupun usianya lama.
“Rekod penyelenggaraan menunjukkan kenderaan tiada masalah, maknanya masih berharga,” katanya.
— BERNAMA