
DBKL jadi tuan rumah forum berimpak tinggi pada Ogos
KUALA LUMPUR,. Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menjadi tuan rumah beberapa acara berimpak tinggi bersempena Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bermula 10 hingga 15 Ogos ini, kata Datuk Bandar Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif
Beliau berkata ia termasuk Forum Pembandaran Mampan ASEAN, Forum Datuk Bandar dan Gabenor ASEAN serta Mesyuarat Gabenor dan Datuk Bandar Ibu Kota ASEAN.
“Kuala Lumpur akan menjadi barisan hadapan gerakan kemampanan bandar ASEAN tahun ini.
“Perhimpunan ini bukan sahaja menyerlahkan program terbaik dan kepimpinan iklim kami, tetapi juga menunjukkan bagaimana bandar-bandar di ASEAN boleh menyetempatkan matlamat iklim global, memperkasa komuniti mereka dan memacu kemampan daripada peringkat bawah,” katanya.
Ucaptama beliau dibacakan oleh Pengarah Jabatan Perancangan Bandar DBKL Siti Hanim Abdul Rahman pada Forum Perumahan Pintar, Hartanah Mampan dan Bandar-Bandar Inovatif di sini, semalam.
Maimunah berkata Kuala Lumpur juga buat kali pertamanya akan mengadakan persidangan bagi pihak Dewan Perbandaran (COP), yang merupakan platform penting bagi membantu sesebuah ibu kota itu mentafsirkan komitmen iklim kepada pelan tindakan yang boleh dilaksanakan oleh mereka.
“Saya mengalu-alukan anda semua untuk menyertai kami pada Ogos ini di Kuala Lumpur, untuk berkongsi pandangan, menjalin kerjasama, membentuk masa depan yang berdaya tahan dan inklusif bagi bandar-bandar di Asia Tenggara,” katanya.
Menurut Maimunah, DBKL akan bekerjasama dengan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Bhd untuk memperluaskan rangkaian transit massa dan kesalinghubungan perkhidmatan terakhir.
Katanya, cadangan caj kesesakan juga masih dalam kajian untuk mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian dan meningkatkan kualiti udara dalam tempoh jangka panjang.
“Dalam pengangkutan, kami mahu menangani pelepasan dan kesesakan melalui strategi pelbagai serampang.
“Bas percuma GOKL kami sudah memberi perkhidmatan lebih 100,000 perjalanan setiap hari dan langkah memperkenalkan bas elektrik telah mengurangkan pelepasan sebanyak hampir 60 peratus berbanding bas diesel,” katanya.
Sementara itu, minggu lepas, DBKL melancarkan Pelan Hala Tuju Kuala Lumpur Ke Arah Sisa Sifar 2040, iaitu langkah utama menuju ke arah bandar raya lebih bersih, bagi menangani penjanaan harian lebih 2,300 tan sisa dan RM260 juta kos yang dibelanjakan setiap tahun untuk menguruskannya.
“Perubahan merupakan sesuatu yang sangat sensitif dan pelan hala tuju ini menyasarkan pengurangan 60 peratus sisa menjelang 2040, disokong oleh tadbir urus, penguatkuasaan dan infrastruktur yang lebih kukuh.
“Program seperti “Waste to Wealth”, 1 Komuniti 1 Kitar Semula, biodiesel daripada minyak masak terpakai sudah pun membuahkan hasil.
“Semua usaha ini berjaya mengurangkan pelepasan, mengurangkan tekanan terhadap tapak pelupusan dan merangsang aktiviti ekonomi baharu.
“Ia merupakan sebahagian daripada visi kami untuk menjadi bandar yang mampan dan cekap sumber,” katanya.
— BERNAMA