Melaka komited perkasa wakaf pendidikan

Melaka komited perkasa wakaf pendidikan

MELAKA,. Melaka komited untuk memperkasakan wakaf pendidikan dalam usaha meningkatkan akses kepada kemudahan pendidikan berkualiti, terutamanya membantu golongan kurang berkemampuan dan memperkukuh pembangunan modal insan.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, dana itu boleh dimanfaatkan untuk pelbagai tujuan pembiayaan pendidikan termasuk memberi biasiswa kepada pelajar yang memerlukan.

“Sebagai contoh Universiti Malaysia Melaka, iaitu sebuah institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, yang mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan pusat wakafnya sendiri.

“Justeru, kita menyeru semua pihak untuk turut serta termasuk kerajaan negeri, syarikat swasta dan para penyumbang bagi memperkasakan institusi wakaf pendidikan ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Selasa.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Simposium Zakat 2025:Kelestarian Tatakelola Pengurusan Zakat, yang turut dihadiri Ketua Pengarah Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji Datuk Selamat Paigo.

Dalam pada itu, Rais berkata, prestasi kutipan zakat di Melaka mencatatkan peningkatan yang sangat memberangsangkan iaitu mencecah RM59.8 juta sehingga suku kedua tahun ini.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, zakat pendapatan menyumbang RM31.8 juta, diikuti zakat wang simpanan (RM11.7 juta) dan zakat perniagaan (RM7.8 juta), manakala kutipan zakat fitrah merekodkan jumlah kutipan RM6.6 juta.

“Dengan kutipan zakat yang tinggi ini, ia dilihat akan menjadi pemangkin utama dalam memperluaskan jaringan bantuan kepada golongan asnaf, sekali gus memperkukuh ekosistem pembangunan sosioekonomi umat Islam,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berkata, penganjuran Simposium Zakat 2025 yang dihadiri kira-kira 150 peserta dari seluruh negara itu dilihat amat bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk memperkukuh sistem pengurusan zakat yang efisien, telus dan berkesan.

Beliau berkata, inisiatif itu juga amat signifikan dalam memperkasakan tadbir urus zakat yang lestari serta berimpak tinggi di peringkat negeri mahupun nasional.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )