Lelaki disyaki memperdaya ibu tunggal diberkas

Lelaki disyaki memperdaya ibu tunggal diberkas

JERTIH,. Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki memperdaya seorang ibu tunggal dengan menawarkan perniagaan ubat tidak wujud sehingga mangsa mengalami kerugian RM52,000.

Ketua Polis Besut, Supt Azamuddin Ahmad@Abu berkata, suspek berusia 40-an itu diberkas di pekarangan rumahnya di Machang, Kelantan, pada 3.20 petang semalam.

“Lelaki itu ditahan selepas mangsa membuat laporan polis, mendakwa dirinya telah ditipu oleh suspek yang dikenalinya melalui aplikasi MiChat pada Mac tahun lepas.

“Dalam tempoh perkenalan itu suspek menawarkan perniagaan ubat berasaskan homeopati menyebabkan mangsa terpedaya lalu membuat dua transaksi wang kepada suspek bermula akhir Mac dan April tahun lepas kononnya untuk pembelian mesin ubat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kali terakhir mangsa yang berusia 43 tahun menyerahkan wang tunai RM7,000 kepada suspek ketika mereka bertemu di sebuah stesen minyak di Seberang Jertih di sini pada 13 Jun lepas, apabila suspek menyatakan untuk tujuan pembelian produk dan promosi.

Azamuddin berkata, mangsa mula berasa curiga dan meminta suspek menunjukkan bukti resit pembelian barang, namun suspek gagal menunjukkan kepadanya selain memberi pelbagai alasan dan tidak dapat dihubungi.

“Wang yang digunakan mangsa hasil simpanan, pemberian arwah suami dan anak-anak termasuk menggadai barang kemas miliknya,” katanya.

Azamuddin berkata, suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Besut hari ini untuk mendapatkan perintah reman dan siasatan dijalankan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This