CUCKOO Malaysia disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad

CUCKOO Malaysia disenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad

KUALA LUMPUR,. CUCKOO International (MAL) Berhad (CUCKOO Malaysia), ‘Peneraju Kediaman Sihat’, telah membuat penampilan sulungnya di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad di bawah nama saham ‘CKI’ dan kod saham ‘5336’. Syarikat mencatat permulaan yang memberangsangkan dengan sebanyak 6,822,100 saham didagangkan pada harga RM1.09.

Penyenaraian ini menandakan detik penting dalam perjalanan CUCKOO Malaysia sejak penubuhannya pada tahun 2014.

Dalam ucapannya semasa majlis penyenaraian, Pengarah Eksekutif Bukan Bebas dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO International (MAL) Berhad Hoe Kian Choon (KC Hoe), melahirkan rasa bangga atas pencapaian syarikat.

“Ini merupakan satu detik bersejarah bagi CUCKOO Malaysia apabila kami secara rasmi disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia, sekali gus menjadi Pencipta Kediaman Sihat oleh rakyat, untuk rakyat,” kata Hoe.

“Daripada permulaan yang sederhana hingga menjadi jenama kepercayaan isi rumah dengan ekosistem penyelesaian kesihatan yang semakin berkembang, misi kami adalah untuk menginspirasikan semua orang agar #SAMASAMAHealthier.”

Beliau menambah bahawa penyenaraian ini bukan sahaja hasil usaha masa lalu, malah menjadi batu loncatan kepada pertumbuhan masa hadapan.

“Dengan lembaran baharu ini, kami berhasrat untuk mempercepat inovasi dan memperluaskan capaian kami di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei. Kerjasama terbaharu kami dengan Samsung Malaysia Electronics merupakan contoh bagaimana kami menjalin perkongsian strategik yang bermakna untuk memperkasa ekosistem produk kami dan memberikan nilai tambah kepada pengguna.”

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif CUCKOO Malaysia, Koo Bon Hak, yang menekankan kepentingan lebih luas penyenaraian ini.

“Ini adalah satu detik yang membanggakan dan bermakna bukan sahaja untuk pasukan di Malaysia, tetapi juga untuk CUCKOO di peringkat global,” kata Koo.

“CUCKOO Malaysia telah menyumbang sebanyak 35.5 peratus kepada jumlah hasil CUCKOO Homesys Co., Ltd. bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025, mencerminkan kekuatan dan kepentingan strategik perkongsian ini.”
Beliau turut memuji kepimpinan dan dedikasi pasukan CUCKOO Malaysia dalam mempromosikan gaya hidup yang lebih sihat.

“Kami yakin dengan pertumbuhan berterusan CUCKOO Malaysia dan keupayaannya dalam menyediakan ekosistem kesejahteraan menyeluruh serta mencipta nilai jangka panjang untuk para pemegang kepentingan.”

CUCKOO Malaysia beroperasi dalam empat segmen perniagaan utama: produk berjenama CUCKOO, barangan Co-Created CUCKOO, produk kecantikan WonderLab dan WonderDewi, serta perkhidmatan penjagaan rumah WonderKlean.

Syarikat ini merupakan pengedar tunggal dan eksklusif bagi produk berjenama CUCKOO di Malaysia, Singapura dan Brunei, dan mengendalikan model perniagaan berasaskan sewaan yang kukuh merangkumi peralatan rumah, tilam, perabot, penjagaan kecantikan dan produk pemakanan.

RHB Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama tunggal, penyelaras global bersama, penaja jamin utama bersama dan pengurus utama penyenaraian IPO. AmInvestment Bank bertindak sebagai penyelaras global bersama, penaja jamin bersama, dan penaja jamin buku bersama.

CATEGORIES
Share This