ALOR GAJAH,. Honda Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha kelestariannya menerusi pelaksanaan inisiatif pemasangan sistem tenaga s
ALOR GAJAH,. Honda Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting dalam usaha kelestariannya menerusi pelaksanaan inisiatif pemasangan sistem tenaga solar pertama di Kilang Honda Malaysia Melaka, membabitkan pelaburan kira-kira RM14 juta.
Projek yang diraikan pada Jumaat, disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh, sekali gus menjadi langkah awal syarikat ke arah merealisasikan matlamat global Honda untuk mencapai neutraliti karbon bagi semua produk dan aktiviti korporat menjelang 2050.
Honda Malaysia memaklumkan projek berkenaan dibiayai sepenuhnya oleh syarikat, mencerminkan komitmennya dalam mengimbangi tanggungjawab terhadap alam sekitar dengan pertumbuhan perniagaan yang mampan.
Sistem tenaga solar itu merangkumi pemasangan kira-kira 8,960 panel solar di bumbung Kilang Melaka dengan jumlah kapasiti terpasang melebihi 5.6 megawatt (MW).
Sistem berkenaan dijangka menjana kira-kira 7,042 megawatt jam (MWh) tenaga boleh baharu setiap tahun, selain mengurangkan pelepasan karbon dioksida (CO2) kilang sebanyak 4,584 tan setahun, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada jumlah pelepasan karbon keseluruhan kilang.
Selain pemasangan sistem fotovolta solar (Solar PV), Honda Malaysia turut melaksanakan Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System atau BESS), sekali gus menjadikannya antara perintis dalam kalangan pengguna elektrik industri di Malaysia yang mengguna pakai teknologi berkenaan.
Sistem BESS itu berfungsi menyimpan lebihan tenaga solar untuk digunakan pada masa diperlukan, sekali gus meningkatkan kecekapan penggunaan tenaga serta memastikan bekalan elektrik yang lebih stabil bagi operasi pembuatan, selain menyokong usaha syarikat ke arah mencapai neutraliti karbon.
Dalam memperkukuh komitmen terhadap kelestarian, Honda Malaysia turut memperoleh pensijilan Climate and Sustainability Industry Readiness Index (COSIRI) dengan penarafan 3.07 bintang, sekali gus mencerminkan komitmennya dalam memperkukuh amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di seluruh operasinya.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Honda Malaysia, Narushi Yazaki, berkata projek tenaga solar itu merupakan satu pencapaian penting dalam perjalanan kelestarian syarikat.
“Selain mengurangkan impak terhadap alam sekitar, projek ini mencerminkan komitmen kami terhadap amalan pembuatan yang bertanggungjawab serta aspirasi untuk menyumbang kepada masa depan yang neutral karbon.
“Sebagai kesinambungan kepada komitmen ini, Honda Malaysia akan memperluaskan lagi inisiatif tenaga solar ke Gudang Bekalan Alat Ganti di Bukit Jelutong, Shah Alam pada 2027, sekali gus memperkukuh usaha jangka panjang kami dalam memacu operasi yang lebih mampan,” katanya.
Beliau berkata, usaha kelestarian Honda Malaysia turut diperluaskan kepada pihak berkepentingan syarikat termasuk pengedar Honda menerusi pelaksanaan inisiatif seperti penuaian air hujan serta pelupusan bateri secara bertanggungjawab.
Honda Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Melaka dan Kerajaan Persekutuan atas sokongan berterusan terhadap pelaksanaan projek berkenaan, sambil memaklumkan bahawa Insentif Elaun Cukai Pelaburan Hijau (Green Investment Tax Allowance atau GITA) memainkan peranan penting dalam merealisasikan inisiatif itu.
Menurut syarikat itu, projek berkenaan selaras dengan aspirasi negara dalam memperluaskan penggunaan tenaga boleh baharu serta membuktikan kepentingan kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah masa depan yang lebih hijau.
Honda Malaysia berkata, syarikat akan terus meningkatkan kecekapan operasi, mengguna pakai teknologi inovatif serta membangunkan produk dan proses pembuatan yang menyokong pertumbuhan lebih bersih dan mampan, selaras dengan visi global Honda untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2050.
— GERBANGPOST

