KUALA KANGSAR,. Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Perak terus mempergiat pendekatan turun padang bagi mendekati masyarakat pada peringkat akar umbi
KUALA KANGSAR,. Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Perak terus mempergiat pendekatan turun padang bagi mendekati masyarakat pada peringkat akar umbi dalam usaha menyampaikan maklumat, dasar, dan inisiatif kerajaan selain menyemarakkan semangat patriotik sepanjang sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026.
Pengarah JAPEN Perak Hasmiza Hussin berkata pendekatan berkenaan penting dalam usaha membina masyarakat yang lebih dekat dengan nilai-nilai Malaysia MADANI selain membuka ruang kepada rakyat untuk menyampaikan maklum balas dan pandangan.
“Jabatan Penerangan menjadi antara penghubung dalam menyampaikan maklumat, dasar, dan inisiatif kerajaan kepada rakyat, di samping mendapatkan maklum balas serta pandangan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Program Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2026 Komuniti MADANI Lubok Merbau Daerah Kuala Kangsar di Kolej Komuniti Chenderoh, di sini hari ini.
Beliau berkata pembangunan negara bukan hanya berlaku pada peringkat pentadbiran, sebaliknya turut bermula daripada komuniti aktif, masyarakat prihatin dan rakyat yang mengambil bahagian.
Penglibatan masyarakat secara langsung dalam pelbagai program kemasyarakatan mampu memperkukuh semangat kebersamaan serta menyemai nilai kenegaraan dalam kalangan rakyat.
Hasmiza berkata kerjasama antara Kolej Komuniti Chenderoh dan Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas dalam menjayakan program berkenaan merupakan contoh baik bagaimana pelbagai pihak dapat berganding bahu menghidupkan semangat kenegaraan pada peringkat komuniti.
“Kerjasama seperti itu amat penting kerana ia membuktikan bahawa patriotisme dan nilai Malaysia MADANI dapat diterapkan melalui penglibatan aktif masyarakat,” katanya.
Beliau turut menggalakkan komuniti supaya terus memainkan peranan dalam menjayakan pelbagai inisiatif yang dapat memperkukuh perpaduan, meningkatkan kesedaran sivik dan memupuk rasa cinta akan negara.
— BERNAMA

