
JSPT buka kaunter bayaran saman mulai 18 Mei
KUALA LUMPUR,. Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman akan membuka kaunter perkhidmatan di semua Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) secara berperingkat mulai 18 Mei ini.
Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata ia bertujuan memudahkan orang ramai menjelaskan bayaran saman serta pembekalan dokumen-dokumen berkaitan kes kemalangan bagi tuntutan insurans.
Beliau berkata kaunter perkhidmatan akan dibuka pada Isnin hingga Rabu bermula pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang bagi IPK Perlis, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan).
Pada hari Jumaat, kaunter akan dibuka pada 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari melibatkan kesemua kontinjen berkenaan.
Bagi IPK Kedah, Johor, Kelantan dan Terengganu kaunter hanya beroperasi pada hari Isnin, Rabu dan Ahad dari 9.00 pagi hingga 2.00 petang, kata Azisman.
Beliau menyeru orang ramai yang ingin berurusan di kaunter-kaunter itu agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.
“JSPT memahami kekangan kewangan masyarakat sepanjang tempoh PKPB bagi mengawal pandemik COVID-19 dan persiapan sambutan Aidilfitri.
“Bagi meringankan bebanan ini, JSPT menawarkan pemberian diskaun sehingga 50 peratus bagi saman-saman terpilih jika membuat pembayaran secara dalam talian melalui dua portal yang ditetapkan JSPT,” katanya.
Azisman berkata dua portal berkenaan adalah www.myeg.com.my dan www.rilek.com.my selama empat hari bermula 18 Mei hingga 21 Mei ini.
“JSPT menyeru orang ramai agar sentiasa mematuhi PKPB yang sedang dikuatkuasakan demi kebaikan bersama,” katanya.
— BERNAMA