AAAGL jual baki pegangan dalam AirAsia India kepada Air India

AAAGL jual baki pegangan dalam AirAsia India kepada Air India

KUALA LUMPUR ,. AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL), syarikat induk kumpulan syarikat penerbangan Capital A Bhd, telah memeterai perjanjian pembelian saham dengan Air India Ltd membabitkan penjualan baki 16.33 peratus pegangan dalam AirAsia (India) Private Ltd (AAI) kepada Air India.

Air India juga merupakan entiti sekutu Tata Sons Private Ltd (TSL).

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Rabu, Capital A berkata semua persetujuan sewajarnya serta kelulusan kawal selia telah diperoleh dan AAAGL dijangka meraih hasil kasar RM89.25 juta.

“Tiada keuntungan atau rugi dalam langkah pelupusan ini memandangkan Capital A telah meletakkan baki 16.33 peratus dalam AAI pada nilai saksama.

“Baki tunai AAAGL akan meningkat dalam jumlah sama selepas (pelaksanaan) langkah itu,” katanya.

Capital A berkata, penjualan itu tidak memberi sebarang kesan ke atas modal sahamnya dan pegangan saham pemegang saham utama serta dijangka tiada kesan material terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham serta hutang syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2022.

Selepas langkah itu, AAAGL tidak akan memegang sebarang kepentingan ekuiti dalam AAI manakala Perjanjian Lesen Jenama dan Perkhidmatan Teknikal antara AirAsia Bhd dan AAI akan tamat 12 bulan dari tarikh tamat perjanjian pemegang saham pihak terbabit atau lebih awal sebagaimana ditetapkan oleh AAI.

Sementara itu dalam satu kenyataan berasingan, AAAGL berkata perjanjian itu dilakukan ketika AirAsia meneruskan semula operasi dengan lebih kukuh berbanding sewaktu pandemik yang membolehkannya meneliti semula objektif strategik dengan menumpukan pasaran ASEAN susulan kedudukan dan rangkaiannya yang kukuh di rantau tersebut.

Setakat ini, AirAsia telah melaksanakan lebih 171,000 penerbangan sejak Januari 2022 dengan membawa lebih 23 juta penumpang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AAAGL Bo Lingam berkata AirAsia telah membangunkan perniagaan hebat di India yang juga antara pasaran penerbangan awam terbesar dunia sejak mula beroperasi pada 2014.

“Kami juga mempunyai pengalaman baik bekerjasama dengan Tata Group yang terkemuka di India. Ini bukanlah penamat hubungan tetapi permulaan baharu ketika kami terus meninjau peluang baharu untuk bekerjasama dan meningkatkan sinergi bagi kemajuan masa depan.

“COVID-19 membolehkan kami meneliti semula keutamaan dan beranggapan AirAsia sesuai membangunkan perniagaan di ASEAN menerusi empat syarikat hebat di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina bersandarkan kehadiran serta jenamanya yang disayangi.

“Kami akan memanfaatkan pengalaman dan pengetahuan daripada operasi di pasaran domestik India bagi mengembangkan lagi pasaran ASEAN-India dalam perkhidmatan logistik serta penumpang ke tahap lebih tinggi,” katanya.

AirAsia India adalah syarikat penerbangan kelima terbesar di India dengan bahagian pasaran sebanyak 5.7 peratus dan menjadi syarikat penerbangan asing pertama menubuhkan anak syarikat di negara itu.

Syarikat itu telah mencatat pertumbuhan luar biasa pada 2019 dengan jumlah penumpang meningkat 39 peratus, sekali gus mengukuhkan kedudukan domestiknya.

Perkhidmatan AirAsia India meliputi 13 destinasi pada tempoh sebelum pandemik termasuk Bengaluru, Kolkata, Hyderabad, New Delhi serta Tiruchirappalli.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)