Aaliyah positif COVID-19, tarik diri Kejohanan Remaja Dunia 2020

Aaliyah positif COVID-19, tarik diri Kejohanan Remaja Dunia 2020

KUALA LUMPUR,. Misi peluncur air remaja negara, Aaliyah Yoong Hanifah. untuk mendapatkan kejuaraan dalam Kejohanan Remaja Dunia 2020 terpaksa dilupakan selepas beliau didapati positif COVID-19 dan terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu.

Aaliyah yang dijadualkan bertanding dalam Kejohanan Remaja Dunia itu di Florida, Amerika Syarikat dari 22 hingga 29 Ogos dijangkiti virus itu awal minggu ini, selain bapa dan jurulatihnya, Hanifah Yoong.

Persekutuan Ski Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan mereka mengambil keputusan menarik diri daripaa kejohanan itu selepas mendapatkan nasihat daripada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Ahmad Shapawi Ismail.

“Ia sangat mengecewakan dan saya merasa amat sedih. Saya tidak fikir banyak yang boleh saya lakukan dalam keadaan ini dan jika saya pulih pun selepas dikuarantin dan terus bertanding, saya tidak akan mempunyai masa untuk melakukan persiapan secukupnya, kata peluncur air itu dalam satu kenyataan pada Rabu.

Atlet remaja itu pada mulanya dijadualkan berlepas ke Florida pada 26 Julai dan akan mempunyai masa tiga minggu untuk berlatih sebelum pertandingan tetapi beliau positif COVID-19 dan kekurangan latihan yang lengkap kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepanjang beberapa bulan lepas telah menjejaskan aspirasi Aaliyah untuk memburu kejuaraan.

“Sejujurnya, saya tidak dapat berlatih sebaiknya sejak Mei dengan keadaan PKP, kerana terlalu banyak gangguan. Saya tahu masih ada lagi pertandingan di masa hadapan tetapi ia tetap sesuatu yang meluluhkan hati kerana saya amat mengharapkan kejuaraan Remaja Dunia kerana tahun lepas merupakan tahun terakhir saya layak untuk mengejar kejuaraan di bawah 17 tahun itu,” katanya.

Aaliyah telah mengumpul hampir 9,000 mata dalam latihan biarpun kurang pertandingan dalam dua tahun lepas tetapi akan lebih umur dalam kejohanan dunia remaja seterusnya dan hanya boleh bertanding dalam Kejohanan Dunia Bawah 21 Tahun.

“Saya menyasarkan Kejohanan Dunia seterusnya yang berlangsung tahun hadapan dan matlamat saya adalah dua gelaran juara Kejohanan Bawah 21 Tahun dalam 2023,” katanya.

Sementara itu, Hanifah berkata ia merupakan keputusan yang mengecewakan kerana anaknya berada dalam momentum kemenangan dan Kejohanan Remaja Dunia sememangnya impian Aaliyah.

“Beliau selalunya melakukan pengorbanan besar, berhenti sekolah tahun lepas untuk memberi tumpuan kepada kejohanan remaja dunia.

Kami juga memohon maaf kepada penaja di peringkat tempatan dan antarabangsa kerana tidak dapat bertanding di remaja dunia. Kami sememangnya berterima kasih di atas sokongan berterusan mereka dan berharap dapat beraksi dengan baik dalam pertandingan akan datang untuk membalas sokongan diberikan,” kata Hanafiah.

Aaliyah kini menunggu untuk pulih sepenuhnya dan akan memulakan persiapan untuk Kejohanan Luncur Air dan Wakeboard Asia yang dijadualkan September depan serta memberikan tumpuan untuk kejuaraan utama seterusnya, Kejohanan Dunia Bawah 21 pada 2023.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)