AAX cadang tawaran 32.25 juta saham, sasar kumpul sehingga RM50 juta

AAX cadang tawaran 32.25 juta saham, sasar kumpul sehingga RM50 juta

KUALA LUMPUR,. AirAsia X Bhd (AAX) bercadang untuk melaksanakan tawaran sebanyak 32.25 juta saham biasa baharu pada harga terbitan RM1.55 sesaham.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AAX berkata, berdasarkan harga langganan, syarikat itu akan memperoleh hasil kasar kira-kira RM50.00 juta daripada cadangan tawaran itu.

Penawaran itu mewakili 7.78 peratus daripada jumlah saham terbitan kepada AHAM Asset Management Bhd, AIIMAN Asset Management Sdn Bhd dan Lavin Group Sdn Bhd.

“Perolehan berjumlah kira-kira RM49.45 juta akan digunakan untuk membiayai keperluan modal kerja kumpulan itu — kos pengaktifan pesawat: RM23.00 juta, kos penyelenggaraan pesawat: RM18.50 juta dan perbelanjaan operasi lain: RM7.90 juta.

“Anggaran perbelanjaan berhubung cadangan tawaran itu ialah RM600,000,” katanya.

AAX berkata cadangan itu tepat pada masanya dan bermanfaat terhadap kedudukan kewangan syarikat, memandangkan klasifikasi semasanya sebagai penerbit tersenarai terjejas di bawah PN17 Keperluan Penyenaraian.

“Sementara syarikat terus menilai prestasi kewangan kumpulan dan daya maju pelan penyusunan PN17nya, hasil yang diperoleh daripada cadangan tawaran itu akan menyediakan penyelesaian pembiayaan interim kepada kumpulan untuk menangani keperluan modal kerjanya,” katanya.

Ini akan membolehkan kumpulan itu meningkatkan lagi operasinya sejajar dengan situasi industri penerbangan yang kembali normal dengan pembukaan semula sempadan serantau di seluruh dunia, katanya.

AAX juga menyatakan bahawa tawaran yang dicadangkan itu membolehkan syarikat menerima pelabur institusi kerana pemegang saham mematuhi perjanjian langganan, di tengah-tengah pemulihan berterusan kumpulan selepas pandemik COVID-19 dan berpotensi meningkatkan kecairan sahamnya.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )