AAX sambung semula penerbangan terus dari KL ke Busan bermulai awal 2023
KUALA LUMPUR,. AirAsia X (AAX), syarikat penerbangan jarak sederhana menyambung semula laluan terus dari Kuala Lumpur ke Busan, Korea Selatan, dengan penerbangan tiga kali seminggu, bermula pada awal 2023.
Dalam kenyataan hari ini, AAX berkata ini akan menjadi laluan kedua ke Korea Selatan selepas melancarkan penerbangan ke Seoul pada April lepas.
Selain melancarkan semula laluan itu, AAX turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Pertubuhan Pelancongan Busan (BTO) untuk membangunkan kempen jualan dan pemasaran bersama, memanfaatkan sokongan ejen pelancongan, mengukuhkan rangkaian penerbangan dan memupuk ekonomi kedua-dua negara melalui sektor pelancongan.
Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail berkata Korea Selatan ialah pasaran yang amat penting dan terdapat pertumbuhan yang luar biasa dari laluan sedia ada syarikat penerbangan tambang rendah itu ke Seoul dengan kira-kira 80 peratus faktor muatan.
“Bermula dengan tiga penerbangan mingguan dan berdasarkan unjuran permintaan yang kukuh, kami menjangka kekerapan penerbangan ke Busan akan kembali kepada perkhidmatan harian menjelang akhir tahun.
“Kami percaya pelancaran semula laluan ke Busan akan membantu memperkukuh hubungan perniagaan dan pelancongan antara Malaysia dan Korea Selatan.
“Kami juga ingin mengucapkan terima kasih kepada kerajaan dan pihak berkuasa yang berkaitan atas sokongan mereka,” katanya.
Benyamin berkata pada 2019, AAX telah membawa kira-kira 200,000 penumpang ke/dari Busan.
“Dalam pada kami berusaha untuk meningkatkan lagi sambungan ke Korea Selatan, kami percaya bahawa penerbangan terus ke Busan nanti akan memacu sektor pelancongan dan ekonomi di kedua-dua negara.
“Laluan baharu itu juga menandakan komitmen kami untuk terus menawarkan perjalanan udara jarak sederhana bernilai hebat untuk para tetamu dan kami tidak sabar untuk melihat lonjakan ketibaan pelancong ke/dari Busan tidak lama lagi,” katanya.
Presiden BTO Jung-Sil Lee berkata pelancaran semula penerbangan terus AAX ke Busan merupakan pencapaian penting dalam penyambungan semula perkhidmatan ke bandar itu.
“Kami percaya para pengembara akan menghargai sambungan terus ini, seterusnya menjadikan Busan destinasi percutian popular sekali lagi,” katanya.
— BERNAMA