AFC: JDT benam Suwon Bluewings 2-1

AFC: JDT benam Suwon Bluewings 2-1

ISKANDAR PUTERI,. Johor Darul Ta’zim (JDT) akhirnya melakar kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) musim ini apabila menundukkan kelab dari Korea, Suwon Bluewings 2-1 dalam perlawanan kedua Kumpulan G di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, malam ini.

Dalam perlawanan itu, JDT membuka tirai jaringan pada minit ke-12 menerusi pemain kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera yang menyempurnakan sepakan penalti dihadiahkan oleh pengadil Alireza Faghani.

Penalti itu diberikan ekoran Diogo Santo dikasari oleh pemain lawan Min Sanggi di dalam kotak penalti.

Tersentak dengan gol pembukaan itu, Suwon Bluewings dilihat cuba bangkit dengan beberapa percubaan, namun masih gagal menemui rentak jaringan.

Hanya apabila bersambung babak kedua, Suwon Bluewings akhirnya berjaya merapatkan jurang melalui jaringan oleh Terry Antonis pada minit ke-51.

Bagaimanapun, Mauricio Nascimento kembali meletakkan skuad Harimau Selatan di hadapan selepas berjaya menanduk masuk bola hantaran daripada Muhammad Nazmi Faiz pada minit ke-72 untuk menewaskan penjaga gol, No Donggeon.

Keputusan 2-1 memihak kepada JDT kekal sehingga wisel penamat sekali gus berjaya mengumpul tiga mata meletakkan mereka di tangga kedua bagi Kumpulan G.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )