ADGMIN1: ASEAN komited kukuh kerjasama bersama rakan dialog dan pembangunan

ADGMIN1: ASEAN komited kukuh kerjasama bersama rakan dialog dan pembangunan

KUALA LUMPUR,. Mesyuarat Menteri-Menteri Digital ASEAN Pertama (ADGMIN1) komited meneruskan kerjasama lebih erat mendalam dengan Rakan Dialog dan Pembangunan merangkumi kerjasama digital, pembagunan modal insan, meneroka teknologi baharu, dan meningkatkan keupayaan menangani risiko keselamatan siber untuk pelaksanaan Pelan Induk Digital ASEAN 2025 (ADM2025).

Dalam kenyataan bersama di akhir ADGMIN1, para menteri turut mengalu-alukan lebih banyak dari sektor swasta untuk bersama membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan ICT berkualiti, termasuk melindungi Infrastruktur Maklumat Kritikal seperti yang ditekankan pada Persidangan Menteri ASEAN Ke-5 mengenai Keselamatan Siber dan meningkatkan daya saing ASEAN untuk mendukung matlamat Komuniti ASEAN.

Asean turut merakamkan penghargaan kepada China, berikutan hasil positif daripada pelbagai aktiviti ASEAN-China di bawah Kerjasama Ekonomi Digital China-ASEAN 2020. Ia memberi peluang kepada Negara ASEAN dan China saling mempelajari amalan masing-masing dalam mewujudkan ekosistem untuk ekonomi dan industri digital berkembang maju.

“Para Menteri menyokong Rancangan Kerja Digital ASEAN-China untuk 2021, termasuk memperkukuh kerjasama untuk memanfaatkan penggunaan teknologi digital untuk peningkatan industri, termasuk tindak balas insiden keselamatan siber, dan dialog mengenai isu-isu kepentingan bersama, serta membangunkan rancangan tindakan kerjasama ASEAN-China untuk lima tahun akan datang,” kata kenyataan itu.

Penghargaan turut ditujukan kepada Jepun untuk pelbagai bidang kerjasama yang dijalinkan pada 2020, termasuk Persidangan ASEAN mengenai Pembangunan Ekosistem 5G, Simposium pada ADM2025, serta Rancangan Kerja Digital ASEAN-Jepun 2021, yang menyokong pelaksanaan inisiatif ADM2025 bertujuan mencapai Matlamat Pembangunan Mampan melalui digitalisasi.

ASEAN juga menghargai sokongan Korea Selatan termasuk projek perundingan global dan Pusat Akses Maklumat untuk kemudahan inovasi digital dan memperkukuh penyambungan pintar ASEAN-Korea Selatan, kapasiti ICT, dan keselamatan siber.

“Negara ASEAN menghargai bantuan berterusan Amerika Syarikat di bawah Pertumbuhan Inklusif ASEAN-USAID di ASEAN melalui Inovasi, Perdagangan dan E-Dagang (IGNITE), terutama dalam pembangunan Indeks Integrasi Digital ASEAN yang mengukur prestasi digital ASEAN,” katanya.

Tidak ketinggalan India yang telah banyak berkongsi pengetahuan dan pengalaman pembangunan sumber manusia ICT di pusat latihan terkemuka di India. Ini termasuk menyokong Rancangan Kerja Digital ASEAN-India 2021 untuk meningkatkan kerjasama yang menyokong inisiatif ADM2025 termasuk mewujudkan hubungan NKN (Rangkaian Pengetahuan Nasional) dengan Negara-negara ASEAN.

Ia turut menyatakan penghargaan kepada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) atas sokongan berterusannya dalam memajukan pembangunan sektor digital di ASEAN.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )