AEON-FRIM tanam 10,000 pokok daripada 35 spesis

AEON-FRIM tanam 10,000 pokok daripada 35 spesis

BIDOR,. Bersempena ulang tahun ke-35 AEON Co. (M) Bhd, AEON dan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) telah menanam 10,000 pokok daripada 35 spesis di Stesen Penyelidikan FRIM Bidor, di sini.

Usaha antara Malaysia-Jepun itu bermatlamat untuk memelihara dan melindungi alam sekitar serta ekosistem sekeliling di samping menyokong usaha penanaman semula hutan di kawasan bekas lombong seluas 67.9 hektar itu.

Pengarah Eksekutif Yayasan Alam Sekitar AEON, Naoki Hayashi dalam ucapannya berkata inisiatif di Bidor itu dimulakan pada 2014 dengan penanaman 8,000 pokok di tanah bekas lombong itu.

Beliau berkata pertambahan 10,000 pokok lagi akan lebih membantu usaha melindungi dan memelihara alam sekitar serta ekosistem sekelilingnya.

“AEON telah menanam kira-kira 12 juta pokok di seluruh dunia. Aktiviti penanaman pokok pertama telah bermula sejak 1991 iaitu semasa pembukaan gedung pertama AEON di Melaka.

“Selain menanam pokok di pusat membeli-belah kami dan di Bidor, kita juga telah menanam pokok di Paya Indah Wetlands dan juga di Borneo yang telah berjaya memulihkan habitat pelbagai jenis serangga dan unggas,” katanya pada majlis itu di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Yang turut hadir Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, Ketua Pengarah FRIM, Datuk Dr Abd Latif Mahmod dan Pengerusi Aeon Co (M) Bhd Datuk Iskandar Sarudin.

Hayashi berkata setakat ini pihaknya telah menanam 66,200 pokok di Malaysia iaitu 57,400 di Paya Indah Wetlands antara 2004 dan 2009, 800 di Borneo pada 2008 dan 8,000 di Bidor pada 2014.

Sementara itu, Saifuddin yang mengucapkan tahniah di atas sambutan ulang tahun ke-35 AEON, menyifatkan majlis hari ini sebagai unik kerana menjadikan usaha pemeliharaan, perlindungan alam sekitar dan ekosistem sekeliling sebagai satu tradisi syarikat.

“Selain itu, ia akan menyokong usaha penanaman semula hutan di kawasan bekas lombong yang meliputi kawasan seluas 67.9 hektar. Ia akan menyediakan kawasan biodiversiti tanah rendah yang menyediakan aktiviti rekreasi dan aktiviti pendidikan alam untuk kanak-kanak,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zulpuri Shah berkata kementeriannya sentiasa komited dalam melindungi sumber semula jadi dan usaha penanaman semula hutan di bekas lombong bijih timah itu telah dimulakan seawal tahun 1920 di FRIM, Kepong yang telah diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan.

“Kawasan ini merupakan lombong bijih timah yang ditinggalkan dan dengan sokongan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri serta organisasi antarabangsa, kawasan yang tidak produktif ini kini telah diliputi dengan kehijauan serta menjadi habitat yang menarik haiwan liar dan unggas.

“Ia dikenali sebagai Hutan Buatan Manusia Terbesar di Bekas Lombong Bijih Timah oleh Malaysia Book of Records pada 2016 dengan lebih 90 spesis pokok ditanam. Sehingga 2018, sebanyak 97 spesis unggas daripada 44 keluarga telah ditemui di sini termasuk burung yang berhijrah seperti ‘Chinese Sparrow Hawks’ dan ‘Blue-throated Bee-eaters’,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)