Affin Bank mengelaskan semula dividen akhir kepada interim
KUALA LUMPUR,. Affin Bank Bhd (ABB) telah membuat resolusi untuk mengelaskan semula dividen akhir yang dicadangkan bagi tahun kewangan 2019 kepada dividen interim untuk memastikan pemegang sahamnya mendapat pembayaran yang tepat pada masanya, walaupun di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia juga telah menyemak semula kuantum kepada 5 sen sesaham daripada 7 sen sebelumnya bagi mengekalkan modal dan kecairan bank.
Pada 27 Feb lepas, Lembaga Pengarah ABB telah mencadangkan dividen akhir sebanyak 7 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2019, tertakluk kepada kelulusan para pemegang saham yang akan ditentukan pasa mesyuarat agung tahunan (AGM) yang akan datang.
Bank itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata terdapat ketidakpastian dalam menentukan tarikh AGM, jadi pengelasan semula itu akan memudahkan pembayaran dividen yang tepat pada waktunya.
“Lembaga Pengarah, selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa, mengambil pendirian berhemat dan memutuskan untuk menyemak semula kuantum dividen daripada 7 sen kepada 5 sen, kepada dividen boleh bayar sebanyak RM99.30 juta berhubung dengan tahun kewangan 2019,” kata ABB.
Dividen yang dicadangkan adalah sebanyak 7 sen sesaham, pembayaran dividen akan mencecah sebanyak RM139.02 juta.
Walaupun dikurangkan kepada 5 sen sesaham, kadar dividen kali ini adalah sama dengan dividen akhir tahun sebelum ini.
Menurut ABB, Lembaga Pengarah mahu mengekalkan tahap pulangan asas kepada para pemegang sahamnya dengan dividen yang baru diklasifikasikan sambil mengekalkan modal dan kecairan.
Katanya, Pelan Pelaburan Semula Dividen (DRP) akan digunakan untuk dividen interim baharu ini, dan para pemegang saham boleh memilih untuk melabur semula keseluruhan dividen yang diterima ke dalam saham-saham baharu.
DRP ini juga akan memberi pilihan kepada para pemegang saham untuk melabur semula secara keseluruhan atau sebahagian daripada dividen interim dalam bentuk saham baharu berdasarkan harga terbitan yang akan diberi diskaun harga pasaran saham ABB pada satu tarikh yang akan diumumkan.
Para pemegang saham melalui AGM yang akan datang, dijadualkan untuk meluluskan dividen akhir yang diisytiharkan pada 27 Feb 2020, DRP bagi dividen akhir dan terbitan 96.5 juta saham baharu di bawah DRP.
— BERNAMA