Agenda Nasional Malaysia Sihat bantu Keluarga Malaysia hadapi fasa endemik COVID-19

KUALA LUMPUR,. Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) yang dilancarkan hari ini merupakan persediaan dan tindakan yang diambil bagi mempersiapkan Keluarga Malaysia dalam mendepani dan mengharungi fasa endemik COVID-19, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata ANMS bertujuan membudayakan hidup sihat dan kelestarian persekitaran yang menyokong kesejahteraan kesihatan Keluarga Malaysia, di samping berusaha menjadikan Keluarga Malaysia sihat sejahtera sepanjang hayat.

Katanya agenda itu merupakan pakej kesejahteraan kesihatan yang diteliti, dirancang dan seterusnya diperkenalkan oleh kerajaan melalui Kementerian Kesihatan sebagai peneraju utama, dan disertai secara langsung oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di samping penglibatan kementerian atau agensi kerajaan yang lain.

“Agenda ANMS dilaksanakan untuk tempoh 10 tahun, iaitu mulai 2021 hingga 2030. Pelaksanaannya dibahagikan kepada dua penggal; iaitu penggal pertama bermula pada 2021 sehingga 2025, dan penggal kedua pula bermula pada 2026 dan akan berakhir pada 2030,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan ANMS yang disiarkan menerusi program Selamat Pagi Malaysia di saluran TV 1 hari ini.

Ismail Sabri berkata bagi menjayakan agenda berkenaan, kerajaan mengambil pendekatan Whole of Nation, iaitu ‘Keseluruhan Negara’ dengan menjalin kerjasama yang erat dengan semua pihak untuk bergerak sebagai rakan strategik.

“Kerajaan bertanggungjawab merangka hala tuju, strategi dan initiatif ANMS, manakala pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) adalah penggerak kepada strategi serta usaha yang telah dirangka atau inisiatif yang diperkenalkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata ANMS melibatkan empat teras utama iaitu memantapkan promosi pembudayaan hidup sihat; memantapkan perkhidmatan kesejahteraan kesihatan; memperkasakan kawalan kesihatan kendiri dan memantapkan kebersihan persekitaran, yang meliputi 10 strategi dan 24 inisiatif.

“Saya menaruh harapan tinggi bahawa menerusi ANMS, Keluarga Malaysia akan terus mengamalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan, kekal dengan kehidupan norma baru, mengambil vaksin serta mengamalkan kawalan kesihatan kendiri, seperti menjalani ujian dan kuarantin jika bergejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, agenda itu turut diberikan penekanan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) terutamanya dalam meningkatkan penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan, dan antara strategi yang akan digunakan dalam RMK12 berkaitan kesejahteraan kesihatan ialah meningkatkan literasi kesihatan serta kesedaran mengenai kesihatan dalam kalangan Keluarga Malaysia.

Perdana Menteri berkata kerajaan turut memutuskan untuk membentuk Dasar Literasi Kesihatan Kebangsaan yang akan melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penganjuran program kesedaran penjagaan kesihatan yang akan dipergiat melalui pelbagai platform, pada semua peringkat dengan memanfaatkan fasiliti di bawah pelbagai agensi.

“Bagi memastikan literasi kesihatan Keluarga Malaysia dapat ditingkatkan, program pembangunan keupayaan Ejen Kesihatan Komuniti atau MyCHAMPION akan diperkukuhkan, terutamanya dalam usaha pendidikan dan promosi kesejahteraan kesihatan,” katanya.

Dengan tahap literasi kesihatan yang tinggi, Ismail Sabri berharap Keluarga Malaysia akan mendapat maklumat kesihatan, membudayakan hidup sihat, membuat kawalan kesihatan kendiri sebagai tindakan awal mencegah penyakit dan menjaga kesihatan bagi mengelak komplikasi.

“Contohnya Keluarga Malaysia dalam kalangan B40 akan mendapat akses kepada maklumat kesihatan, memahami kepentingan penjagaan kesihatan, dan melakukan saringan kesihatan percuma melalui program skim PekaB40.

“Ini membolehkan kita mengenal pasti risiko kesihatan lebih awal dan menjalani intervensi kesihatan sama ada di Wellness Hub (Hub Sejahtera), klinik kesihatan dan hospital mengikut status kesihatan,” katanya.

Katanya menerusi usaha itu, Keluarga Malaysia bukan sahaja dapat membudayakan hidup sihat, mengurangkan risiko penyakit serta mengurangkan kos rawatan dan pemulihan, malah dapat menjalani hidup yang lebih berkualiti.

Ismail Sabri turut memberikan jaminan terhadap aspirasi murni itu, bahawa kerajaan komited menyediakan peruntukan yang mencukupi bagi memastikan ANMS dapat dijayakan dan memberi manfaat sepenuhnya kepada Keluarga Malaysia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )