Agong berkenan kurnia watikah Sasterawan Negara ke-14

Agong berkenan kurnia watikah Sasterawan Negara ke-14

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam ini berkenan menghadiri Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara ke-14 (ASN ke-14).

Pada majlis yang diadakan di sebuah hotel di sini, keberangkatan tiba Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah pada 8.40 malam disambut Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik.

Turut hadir Timbalan Menteri Pendidikan Teo Ni Ching dan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah kemudiannya berkenan menerima Sembah Kenal Penerima Anugerah Sastera Negara ke-14, Prof Dr Siti Zainon Ismail oleh Maszlee.

Baginda kemudian berkenan menyampaikan watikah Sasterawan Negara kepada Siti Zainon sebelum menerima sembah ucapan daripada Siti Zainon.

Sementara itu, Siti Zainon dalam sembah ucapannya berkata penyatuan melalui Bahasa Melayu sebagai bahasa negara harus diberi tumpuan, dengan penggunaannya diperluaskan dalam hebahan melalui poster, papan tanda arah dan iklan selain mendahulukan bahasa kebangsaan dalam persembahan, seminar atau dalam dialog bernuansa antarabangsa.

“Hari ini ‘Rumah Budi Melayu’ makin sesak dan bergoyang… disendatkan dengan pelbagai tingkah laku canggung bertentangan dengan resam budaya. Pemahaman Bahasa Jiwa Bangsa semakin tipis,” jelasnya yang telah menghasilkan tiga buah novel, sembilan buah kumpulan cerpen, 25 buah kumpulan puisi dan 20 buah buku kajian dalam dunia kesusasteraan.

Sebelum ini, Siti Zainon telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Sastera Negara ke-14 yang membawa gelaran Sasterawan Negara.

Pemilihan Siti Zainon berdasarkan kepada sumbangan beliau melalui karya dan pemikiran serta sumbangan terhadap pengembangan sastera.

Anugerah Sastera Negara diberikan sejak 1981 kepada sasterawan yang menulis dalam bahasa Melayu dan telah memberikan sumbangan yang cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui ciptaan bermutu tinggi.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )