Agong berkenan Muhyiddin jalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga Perdana Menteri baharu dilantik.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata perkara itu diputuskan setelah Seri Paduka berkenan menerima surat peletakan jawatan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri yang berkuat kuasa hari ini.

“Ini adalah selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa Seri Paduka Baginda hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Baginda mungkin mendapat kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri baharu untuk mempengerusikan Jemaah Menteri.

“Seri Paduka turut menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Jemaah Menteri atas khidmat bakti dan urus tadbir negara yang telah dilaksanakan di bawah Perikatan Nasional bermula 1 Mac 2020, khususnya dalam memerangi pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Muhyiddin di Istana Negara pada 12.30 tengah hari tadi.

Selain Muhyiddin, Seri Paduka turut berkenan menerima menghadap Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun dan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh pada 11 pagi di Istana Negara.
Ahmad Fadil berkata selaku Ketua Utama Negara, Al-Sultan Abdullah memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara serta apa-apa keputusan yang dibuat oleh Muhyiddin berteraskan keluhuran Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja itu berkata Yang di-Pertuan Agong turut menerima sembah maklum daripada Pengerusi SPR bahawa sehingga 10 Ogos, daripada sejumlah 613 kawasan Dewan Undangan Negeri, sebanyak 484 kawasan (79 peratus) adalah zon merah COVID-19.

Al-Sultan Abdullah turut mengambil maklum bahawa fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

“Justeru, pada hemat Seri Paduka, pelaksanaan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan satu pilihan yang terbaik atas faktor kemaslahatan dan keselamatan rakyat,” kata Ahmad Fadil.

Beliau berkata Seri Paduka menzahirkan harapan agar kemelut politik yang berlarutan tanpa kesudahan yang telah mengganggu kelancaran tadbir urus negara ini dapat diakhiri demi kesejahteraan rakyat dan ekonomi negara yang diancam oleh pandemik COVID-19.

“Seri Paduka turut mengambil kesempatan ini menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama Baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan wabak COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )