Agong perkenan jadi penaung diraja SAM
KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menjadi penaung diraja Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM).
Baginda menggantikan penaung sebelum ini yang juga ayahanda baginda, Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.
Presiden SAM Jasni Shafie dalam satu kenyataan berkata perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kol (B) Datuk Nazim Mohd Alim melalui surat daripada Istana Negara yang diterima SAM hari ini.
SAM yang diketuai Jasni telah menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 30 Okt lepas untuk mempersembahkan hasrat mempersilakan baginda untuk menjadi Penaung Diraja SAM bagi menggantikan Almarhum Sultan Ahmad Shah yang telah menjadi Penaung Diraja yang pertama sejak penubuhan SAM pada 1969.
“Dengan perkenan baginda untuk menjadi Penaung Diraja SAM ini, ia adalah pengiktirafan tertinggi kepada penggiat media sukan tanah air dan melambangkan minat serta keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terhadap sukan negara yang tidak berbelah-bahagi.
“Keprihatinan dan minat serta latar belakang Tuanku dalam arena sukan tempatan dan antarabangsa memberikan kami keyakinan bahawa Tuanku adalah calon paling tanjak dan tepat meneruskan legasi Almarhum Sultan Ahmad Shah sebagai Penaung Diraja persatuan ini,” katanya.
SAM yang menaungi penulis dan pengamal media sukan seluruh negara berharap melalui perkenan ini ia akan memberikan semangat dan keyakinan kepada ahli-ahli untuk terus membantu pembangunan sukan negara melalui laporan yang berwibawa dan dihormati di media massa.
Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat ke Majlis Anugerah SAM-100 Plus dan sambutan 50 tahun penubuhan SAM pada 10 April lepas.
— BERNAMA