Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis bacaan Yasin dan doa selamat

Agong, Raja Permaisuri berangkat ke majlis bacaan Yasin dan doa selamat

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semalam berkenan berangkat menghadiri majlis bacaan Yasin dan doa selamat sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka pada Isnin (6 Jun) ini.

Turut berangkat pada majlis yang diadakan di Masjid Wilayah Persekutuan itu ialah Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 6.30 petang disambut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Idris Ahmad.

Turut hadir, beberapa menteri Kabinet termasuk Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Menteri Kanan Pendidikan Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin serta Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Luqman Abdullah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yasin dan doa selamat yang dipimpin oleh Imam Besar Masjid Wilayah Persekutuan Muhyidin Aziz @ Saari, kemudian Seri Paduka berdua bersama kira-kira 2,000 jemaah menunaikan solat maghrib yang diimamkan Imam Kanan Masjid Wilayah Persekutuan Dr Khalid Isa.

Pasangan diraja itu turut berkenan bersalaman dan beramah mesra dengan jemaah yang hadir sebelum berangkat meninggalkan majlis pada pukul 7.54 malam.

Majlis itu adalah sebahagian daripada acara sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Al-Sultan Abdullah yang ditabalkan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 30 Julai 2019.

Al-Sultan Abdullah juga dijadualkan berangkat ke khutbah khas dan menunaikan solat Jumaat sempena sambutan itu di masjid berkenaan hari ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)