Agong, Raja Permaisuri ucap takziah atas pemergian bekas pelumba basikal Jusof Udin

Agong, Raja Permaisuri ucap takziah atas pemergian bekas pelumba basikal Jusof Udin

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga bekas pelumba basikal kebangsaan Jusof Udin yang meninggal dunia kelmarin.

Istana Negara menerusi laman Facebook rasmi pada Selasa menyatakan Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa dukacita dengan pemergian Allahyarham dan berharap agar seluruh keluarga Allahyarham sabar serta tabah menghadapi suasana sedih dan pilu ini.

“Seri Paduka Baginda berdua amat menghargai khidmat bakti, jasa serta pengorbanan Allahyarham kepada negara.

“Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan bersama para solihin,” demikian menurut hantaran itu.

Allahyarham Jusof, 61, pernah memenangi hatrik pingat perak pada Sukan SEA 1977 di Kuala Lumpur, 1979 di Jakarta dan 1981 di Manila.

Allahyarham juga pernah mewakili pasukan kebangsaan pada Sukan Asia New Delhi pada 1982 selain merupakan seorang yang aktif dalam Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )