Agong zahir harapan Malaysia-Arab Saudi tingkat hubungan dua hala, perpaduan ummah

Agong zahir harapan Malaysia-Arab Saudi tingkat hubungan dua hala, perpaduan ummah

KUALA LUMPUR,. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan harapan agar Malaysia dan Arab Saudi mempertingkatkan dan mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan perpaduan ummah.

Seri Paduka menzahirkan harapan tersebut pada Majlis Jamuan Teh Petang yang dianjurkan oleh Putera Mahkota dan Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al Saud di Mina, semalam.

Turut berangkat, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.

“Dalam majlis yang berlangsung selama satu jam tersebut, Seri Paduka Baginda telah berkenan bertukar-tukar pandangan bersama Yang Amat Mulia Putera Mohammed dalam pelbagai perkara, termasuk hubungan dua hala yang telah terjalin dengan erat dan secara istimewa antara Malaysia dan Arab Saudi,” menurut catatan di Facebook Istana Negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Putera Mohammed atas persiapan rapi dan kejayaan kerajaan Arab Saudi menerima dua juta jemaah bagi musim haji tahun ini, iaitu jumlah terbesar semenjak COVID-19.

Pertemuan berkenaan juga adalah merupakan manifestasi hubungan akrab antara kedua-dua negara.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )