Agrobank terus pergiat program agrobank dan komuniti, peruntuk rm35 ribu lancar misi bantuan ke Yan, Kedah
YAN, KEDAH,. Agrobank terus mempergiatkan program perdananya, Agrobank dan Komuniti dan kali ini misi bantuan diteruskan untuk membantu komuniti setempat di Yan, Kedah yang terkesan akibat banjir kilat yang berlaku susulan fenomena kepala air dengan mengedarkan kotak bantuan bencana berupa makanan dan keperluan asas kepada 200 keluarga.
Khadijah Iskandar, Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank berkata, selaras dengan slogan ‘Sentiasa di Sisi Anda’, Agrobank amat cakna dan prihatin akan kesukaran dan situasi semasa yang sedang dihadapi oleh komuniti setempat di Yan, Kedah ekoran bencana alam yang berlaku beberapa minggu yang lalu dan membuat keputusan untuk meneruskan program Agrobank dan Komuniti, untuk meringankan beban komunti yang terkesan dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM35,000.
“Sebagai sebuah institusi kewangan yang begitu dekat di hati rakyat Malaysia, kami di Agrobank berasa bertanggungjawab untuk turut sama membantu dan menghulurkan bantuan kepada mereka yang terkesan dek bencana alam yang berlaku di Yan, Kedah. Apatah lagi, apabila salah seorang warga kerja kami di Pusat Kredit Padi Agrobank turut terjejas akibat daripada fenomena alam ini dan beliau merupakan salah seorang daripada 200 penerima yang mendapat manfaat menerusi misi bantuan pada kali ini.” katanya.
Sesi penyerahan sumbangan ini disempurnakan oleh Norafiza Ani Abdullah, Ketua Bahagian Jualan dan Perkhidmatan Agrobank Wilayah Utara kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana di Dewan Dato’ Madi pada tengahari ini. Kotak sumbangan yang diberikan kepada penerima berupa makanan dan keperluan asas seperti makanan kering dan minuman, barang penjagaan peribadi, bantal, sejadah, telekung dan bahan pencuci.
Sementara itu, Jamali Kamal, Penolong Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Yan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Agrobank atas keprihatinan dan kerjasama yang diberikan oleh Agrobank untuk membantu mereka yang terkesan terutamanya dalam menghadapi situasi sukar pada waktu ini.
Misi bantuan di Yan, Kedah ini merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat Agrobank menerusi program perdananya, Agrobank dan Komuniti yang dilancarkan dengan tujuan untuk mendekati dan menyantuni komuniti setempat di mana Agrobank beroperasi.
Mengenai Agrobank
Agrobank adalah peneraju dalam pembiayaan pertanian dan perbankan berasaskan nilai (VBI)* di Malaysia. Ditubuhkan pada 1969, Agrobank terlibat secara aktif mencatatkan pertumbuhan dan pembangunan industri pertanian di Malaysia dengan menawarkan produk dan solusi kewangan yang patuh syariah merentasi pelbagai segmen pelanggan termasuk pelanggan korporat, komersial, konsumer, pembiayaan perdagangan dan pembiayaan mikro. Agrobank merupakan sebuah institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 1 Julai 2015.
Sebagai sebuah IKP (Institusi Kewangan Pembangunan) yang berorientasikan pelanggan, fokus utama Agrobank adalah untuk mengukuhkan sektor pertanian. Justeru itu, Agrobank beriltizam untuk bergerak seimbang dalam melaksanakan peranan pembangunan dan komersialnya bagi memanfaatkan sektor pertanian. Agrobank menyediakan solusi pembiayaan yang menyeluruh untuk komuniti pertanian; merangkumi aktiviti huluan seperti bekalan input pengeluaran pertanian dan untuk aktiviti hiliran seperti pemprosesan, pemasaran dan jualan produk pertanian kepada pengguna.
Agrobank juga menawarkan penyelesaian pembiayaan perbankan runcit untuk meningkatkan taraf kehidupan komuniti-pertanian. Ini dapat dilaksanakan menerusi kesemua 192 buah rangkaian untuk pelanggan Bank merangkumi 138 cawangan, 1 perbankan agro, 1 perbankan maya, 10 pusat pembiayaan komersial, 34 kiosk, 8 sudut & pusat agro.
Pada tahun 2019, Agrobank meraikan ulang tahun Jubli Emas menandakan 50 tahun penubuhannya membangunkan industri agro.
www.agrobank.com.my
*VBI atau perantaraan berasaskan nilai merupakan satu inisiatif daripada Bank Negara Malaysia (BNM) yang bertujuan untuk menambah nilai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh institusi kewangan Islam bagi menggalakkan keusahawanan, kesejahteraan komuniti, kelestarian alam sekitar dan pertumbuhan ekonomi tanpa mengabaikan pulangan kepada para pemegang saham.