Ahli Parlimen pembangkang junjung kasih titah Diraja

Ahli Parlimen pembangkang junjung kasih titah Diraja

KUALA LUMPUR, 18 Mei — Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH), Bersatu, Warisan dan UPKO hari ini menjunjung setinggi-tinggi kasih ke atas titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada istiadat pembukaan penggal ketiga Parlimen di sini, hari ini.

Dalam kenyataan bersama, yang ditandatangani enam pemimpin dari PKR, DAP, Amanah, Bersatu, Warisan dan UPKO itu, mereka menyatakan bahawa ahli-ahli Parlimen pembangkang akan memainkan peranan semak dan imbang demi memastikan dasar-dasar seperti Wawasan Kemakmuran Bersama dan pelan anti rasuah diusahakan sebaik mungkin.

“Kami turut menerima baik peringatan Tuanku bahawa perbezaan pendapat tidak harus diakhiri dengan caci mencaci, serta keperluan menangani isu polarisasi kaum dan membendung segala bentuk provokasi dan fahaman serta nilai yang bertentangan dengan norma, adat dan undang-undang,” kata mereka.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika bertitah pada pembukaan penggal Parlimen itu menyentuh pelbagai perkara antaranya kebajikan rakyat, kos sara hidup, politik, rasuah, ekonomi, perpaduan, agama dan wabak COVID-19.

Ahli-ahli parlimen dari enam parti itu menyanjung tinggi titah Seri Paduka yang khuatir dengan budaya rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa kerana ia mampu merencat pembangunan serta merosak imej negara di peringkat antarabangsa.

“Mengikuti keseluruhan titah Tuanku, pelbagai isu dan perkara disentuh namun ianya berkisar di atas paksi yang sama iaitu pembelaan nasib rakyat, keperluan politik matang, bersih dan bebas rasuah, serta rasa kasih dan hormat terhadap agama dan kedudukan Raja-Raja Melayu.”

Dalam pada itu, mereka turut melahirkan penghargaan buat semua petugas barisan hadapan COVID-19 yang telah mencurahkan bakti demi mempertahan rakyat dan negara dari wabak itu.

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )