Ahli Parlimen Sri Lanka dibunuh sekumpulan perusuh: Laporan forensik

Ahli Parlimen Sri Lanka dibunuh sekumpulan perusuh: Laporan forensik

COLOMBO: Ahli Parlimen Sri Lanka yang menembak mati seorang penunjuk perasaan antikerajaan pada minggu ini telah dibunuh oleh sekumpulan perusuh, menurut laporan forensik kelmarin, bertentangan dengan laporan polis bahawa beliau membunuh diri sendiri.

Amarakeerthi Athukorala melepaskan tembakan ke arah orang yang menghalang laluan keretanya di pekan Nittambuwa pada Isnin, selepas negara itu terjerumus ke dalam keganasan apabila sekumpulan penyokong setia kerajaan menyerang penunjuk perasaan aman.

Pihak polis menyatakan Athukorala telah cuba untuk berlindung di sebuah bangunan dan menembak dirinya sendiri selepas dikepung oleh kira-kira 5,000 penunjuk perasaan.

“Kematiannya itu dijangka akibat pelbagai kecederaan, patah tulang dan pendarahan dalaman, namun beliau tidak mempunyai kesan luka tembakan,” menurut akhbar Lankadeepa, memetik laporan bedah siasat.

Pengawal peribadi Athukorala turut maut akibat kecederaan tembakan, menurut laporan. Pihak polis telah diarahkan untuk menyiasat siapa yang melepaskan tembakan.

Kereta dua orang tersebut telah dikepung oleh orang awam, yang dibawa ke jalan raya selepas perusuh bersenjatakan belantan menyerang protes secara aman yang menuntut peletakan jawatan kerajaan bagi krisis ekonomi yang teruk di Sri Lanka.

Perdana Menteri Mahinda Rajapaksa, yang dipersalahkan oleh penunjuk perasaan kerana menganjurkan keganasan, meletakkan jawatan tidak lama kemudian. Beliau terpaksa melarikan diri dari ibu negeri Colombo dan berlindung di sebuah pangkalan tentera laut.

Seramai sembilan orang telah terbunuh dalam beberapa insiden berkaitan dengan keganasan, ketika sekurang-kurangnya 225 lagi tercedera dan dimasukkan ke hospital.

Perintah berkurung semalaman masih dikuatkuasakan di Sri Lanka.

— Agensi

CATEGORIES
Share This