Ahmad Jazlan tarik sokongan terhadap kerajaan PN

KOTA BHARU,. Ahli Parlimen Machang dari Barisan Nasional (BN) Datuk Ahmad Jazlan Yaakob hari ini mengumumkan menarik sokongannya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan itu mengumumkan perkara itu pada sidang media di Bangunan UMNO Negeri Kelantan di sini.

Sabtu lalu, beliau melepaskan jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ahmad Jazlan menjelaskan ini sekali gus menjadikan beliau sebagai Ahli Parlimen yang kedua dari blok kerajaan berbuat demikian selepas perkara sama dilakukan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li).

Menurutnya, surat berkaitan tindakannya itu akan dimaklumkan kepada Presiden UMNO merangkap Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak lama lagi.

Pada 6 Jan lalu, Majlis Tertinggi UMNO membuat keputusan untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 dan perkara itu akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO 31 Jan ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )