Ahmad Rosli Antara 5 Dilantik Panel Pemantau Bebas SPRM

Ahmad Rosli Antara 5 Dilantik Panel Pemantau Bebas SPRM

KUALA LUMPUR – Enam individu termasuk bekas Timbalan Ketua Bahagian II Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham dilantik sebagai ahli panel badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Keenam-enam individu tersebut dilantik secara pentadbiran oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bermula 1 April lalu sehingga 31 Mac 2024.

Jurucakap SPRM berkata, lima daripada mereka dilantik sebagai ahli Panel Penilaian Operasi (PPO) yang merupakan lantikan semula.

Menurutnya, seorang lagi dilantik sebagai ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR) baharu bagi menggantikan seorang ahli panel bebas tersebut yang meletak jawatan Disember tahun lalu.

“Kesemua individu yang dilantik tersebut terdiri daripada golongan profesional serta pakar pelbagai bidang untuk mewakili masyarakat bagi memantau pelaksanaan fungsi dan operasi SPRM.

“Surat pelantikan PPO dan PPPR itu telah disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, hari ini,” katanya.

Menerusi pelantikan itu, jawatan pengerusi disandang Ahmad Rosli manakala lima yang lain adalah bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Faudzi Che Mamat (ahli); bekas Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pematuhan) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Abdul Manap Dim (ahli).

Bekas Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk Azimah Abd Hamid (ahli) dan bekas Timbalan Pengarah Bahagian Perisikan Kewangan dan Penguatkuasaan Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Mazlan Ahmad (ahli).

Sementara itu, ahli PPPR yang baru dilantik adalah Naib Pengerusi Eksekutif, Malaysian Resources Corporation (MRCB), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din (ahli).

– Getaran, 30 Mei 2022

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )