Ikhlas Airasia Bersama Kelab Gtr Komited Membantu Golongan Terkesan Pandemik Covid-19

Ikhlas Airasia Bersama Kelab Gtr Komited Membantu Golongan Terkesan Pandemik Covid-19

Kuala Lumpur , 13 Okt, 2021 (gerbangpost) – AirAsia merupakan sebuah syarikat penerbangan tambang murah yang tidak asing lagi di negara kita malahan juga diperingkat antarabangsa. Atas inisiatif CSR pihak AirAsia mewujudkan IKHLAS, sebuah platform gaya hidup Muslim yang menawarkan produk dan perkhidmatan Muslim kepada umat Islam. Melalui salah satu produk mereka iaitu IKHLAS Sadaqah platform yang khusus untuk membantu Organisasi dan golongan yang memerlukan bantuan lebih-lebih lagi selepas negara dilanda pandemik Covid-19.

IKHLAS Sadaqah membantu Organisasi dalam proses digitalisasi derma secara dalam talian dalam usaha Organisasi menjalankan program pembangunan asnaf melalui bantuan, transformasi kehidupan, kerohanian dan sahsiah serta program-program lain yang matlamatnya dapat memberi manfaat berterusan untuk membantu komuniti Muslim bukan sahaja di Malaysia malah diperingkat antarabangsa juga.

Justeru itu IKHLAS mengambil langkah proaktif dengan mengadakan kerjasama dengan sebuah pertubuhan NGO berteraskan penternakan ruminan iaitu Kelab Group Transformasi Ruminan (GTR) dalam memperjuangkan nasib penternak terutama mereka terkesan sejak pandemik Covid-19. GTR merupakan sebuah organisasi NGO yang menggabungkan penternak ruminan di seluruh Malaysia bertujuan untuk memajukan industri ruminan negara. Manakala Yayasan Maghfirah juga adalah sebuah NGO yang banyak menghulurkan bantuan di Sabah dari bermulanya pandemik sehingga sekarang ini.

IKHLAS, GTR dan Yayasan Maghfirah berganding bahu mengadakan satu program bantuan khusus buat rakyat Sabah melalui Program Kembara Kasih Sabah 2021 yang akan berlangsung bermula 16 – 20 Oktober 2021 meliputi lima kawasan tumpuan Kota Kinabalu, Sandakan, Kudat, Tawau dan Semporna dalam usaha menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada penternak ruminan yang terlibat dengan banjir kilat baru-baru ini termasuk juga kepada golongan penerima yang layak bagi meringankan beban yang ditanggung akibat musibah.

-Joy Reyzal

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )