AirAsia mahu kumpul RM454.51 juta melalui tawaran saham persendirian

AirAsia mahu kumpul RM454.51 juta melalui tawaran saham persendirian

KUALA LUMPUR,. AirAsia Group Bhd bercadang untuk melaksanakan tawaran saham persendirian sehingga 20 peratus daripada 3.34 bilion saham sedia ada bagi mengumpul kira-kira RM454.51 juta.

Syarikat penerbangan tambang rendah itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata langkah itu akan mengukuhkan kedudukan kewangannya dengan sedikit kelebihan dalam aset bersih serta penggearan bersih.

Hasil kasar akan digunakan untuk penyelesaian lindung nilai bahan api, bayaran pajakan dan penyelenggaraan pesawat serta perbelanjaan modal kerja am.

“Tawaran saham persendirian yang dicadangkan ini adalah sebagai tindak balas kepada beberapa keadaan luar jangka yang tidak boleh dikawal kumpulan seperti penularan wabak COVID-19 global yang telah menimbulkan cabaran ketara bagi industri penerbangan.

“Sekatan perjalanan yang dikenakan oleh pelbagai kerajaan telah menyebabkan trafik penumpang berkurangan dengan ketara bagi kumpulan dan prospek serta operasi masa depan kumpulan masih berada dalam keadaan tidak menentu,” katanya.

Selaras dengan jangkaan garis masa vaksinasi dan permintaan yang sedang beransur-ansur naik untuk perjalanan udara, kumpulan itu akan terus melaksanakan strategi pengurusan kapasiti aktifnya.

Ia menyasarkan untuk beroperasi kira-kira 65 hingga 70 peratus daripada kapasiti 2019 pada tahun ini.

Syarikat penerbangan itu akan terus menilai potensi peningkatan lebih banyak penerbangan dan menambah destinasi untuk pelanggannya pada bulan-bulan akan datang, bagaimanapun, rancangan ini bergantung kepada kelonggaran atau kerajaan akan mengetatkan lagi langkah-langkah kesihatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)