AirAsia sediakan keperluan pada penumpang terkandas di Incheon
KUALA LUMPUR,. AirAsia telah menyediakan semua keperluan kepada penumpangnya ke Malaysia yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon, Korea Selatan pada 24 Disember lepas.
Syarikat penerbangan tambang murah itu berkata demikian kepada Bernama susulan laporan berita media Korea Selatan mengenai keadaan penumpang yang terkandas di lapangan terbang itu lebih 27 jam disebabkan masalah teknikal.
AirAsia juga tidak akan mengeluarkan kenyataan susulan berkaitan situasi itu memandangkan ia telah menyediakan keperluan kepada penumpang yang terjejas.
Menurut laporan berita itu, penerbangan yang dijadualkan berlepas pada 7.35 pagi hari sebelumnya, pada mulanya ditangguhkan selama 18 jam berikutan kakitangan syarikat penerbangan itu membuka pintu masuk untuk penumpang hanya selepas masalah enjin diselesaikan.
“Sejurus sebelum meninggalkan lapangan terbang, satu lagi kesilapan teknikal berlaku. Disebabkan kelewatan yang berlarutan, juruterbang membenarkan 50 penumpang meninggalkan pesawat pada kira-kira pukul 3:20 pagi pada Ahad,” kata laporan itu.
Ia berkata selepas terkandas di dalam pesawat selama tujuh jam 30 minit, baki 265 penumpang berlepas dari Incheon pada 10.50 pagi ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
— BERNAMA