airasia terus berkembang sebagai gergasi teknologi terkemuka dengan pengambilalihan operasi Gojek di Thailand

airasia terus berkembang sebagai gergasi teknologi terkemuka dengan pengambilalihan operasi Gojek di Thailand

KUALA LUMPUR, 7 Julai 2021 – airasia Digital, cabang digital airasia Group dan Gojek, platform perkhidmatan dan pembayaran mudah alih terkemuka di Asia Tenggara, hari ini mengumumkan kerjasama pengambilalihan operasi Gojek di Thailand oleh airasia Digital.

Kerjasama unggul ini dijangka dapat mengembangkan airasia Super App di Asean, dan pada masa yang sama  meningkatkan pelaburan Gojek dalam operasinya di Vietnam dan Singapura.

Melalui kerjasama ini juga, Gojek akan menerima pegangan saham dalam airasia Super App yang kini bernilai AS$1 bilion. Kerjasama bersejarah ini membina satu asas yang kuat bagi kedua-dua buah syarikat untuk terus meneroka pelbagai peluang perniagaan di salah satu wilayah yang berkembang paling pesat di dunia.

Sebagai sebahagian daripada komitmennya kepada Thailand, airasia Super App akan terus memanfaatkan ekosistem sedia ada untuk perkhidmatan rakan penghantar, perniagaan dan pelanggan dengan menawarkan pelbagai tawaran baharu seperti makanan, barangan runcit dan produk kecantikan. Perkhidmatan ini juga akan dikembangkan ke pasaran baharu seperti Chiang Mai dan Phuket dalam masa terdekat.

Aplikasi Gojek akan terus beroperasi untuk para pengguna semasa di Bangkok sehingga 31 Julai 2021 untuk memastikan suatu peralihan yang lancar bagi pihak berkepentingan Gojek, termasuk pemandu dan peniaga yang akan dijemput menyertai airasia Super App dalam beberapa minggu akan datang.

AirAsia akan bekerjasama dengan kakitangan tempatan Gojek di Thailand untuk mengendali perniagaan Gojek dalam tempoh peralihan sebelum terus   menyertai airasia Super App,  dimana mereka membawa kepakaran dalam pasaran tempatan dan kefahaman keperluan pengguna di Thailand.

Kerjasama ini sejajar dengan dengan penyusunan semula strategi antarabangsa Gojek untuk meningkatkan pelaburan dalam operasinya di Vietnam dan Singapura, untuk memacu pertumbuhan perniagaan. Ini termasuk memperluas inisiatif pemerolehan pemandu dan peniaga, meningkatkan pengalaman pengguna serta melancarkan produk dan perkhidmatan baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif airasia Group Tan Sri Tony Fernandes berkata bahawa pengumuman pada hari ini adalah “permulaan satu kerjasama strategik jangka panjang yang luar biasa bersama Gojek yang bakal menggegarkan industri.

“Dengan pengambilalihan perniagaan Gojek di Thailand, kami dapat memacu perkembangan dalam industri ini sebagai aplikasi terkemuka di Asean dengan lebih pantas.

“Kami telah mempunyai ekosistem ekonomi digital yang lengkap dengan  lebih daripada 15 produk dan perkhidmatan gaya hidup selain penerbangan yang pelbagai di platform e-dagang digital kami di Malaysia. Kini tiba masanya untuk kami membawa visi kami ke tahap seterusnya. Untuk memenuhi permintaan yang luar biasa dari seluruh pelusuk rantau ini, kami akan mula melancarkan airasia Super App di semua pasaran utama selepas pelancaran di Thailand.

“Kesemua perniagaan digital kami kian bertambah kukuh dan melalui kerjasama ini, visi kami supaya airasia Super App menjadi menjadi satu aplikasi pilihan di seluruh Asean bakal menjadi kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif Gojek Kevin Aluwi, berkata, “Kerjasama ini adalah kejayaan pasukan kami di Thailand, yang telah mengembangkan perniagaan bermula dari bawah menjadi salah satu penyedia perkhidmatan atas permintaan yang telah memberi impak kepada ratusan ribu rakyat di seluruh negara tersebut. Perniagaan ini dibina oleh sejumlah bakat-bakat besar dan kami sudah tentu akan bekerjasama dengan kakitangan kami di Thailand dan airasia dalam tempoh peralihan ini. Kami berbangga dan amat berterima kasih atas kejayaan yang dicapai oleh pasukan Gojek Thailand, serta para pengguna, pemandu, dan peniaga kami yang setia di Thailand kerana mereka adalah teras dalam apa jua yang kami lakukan.

“airasia Digital dan airasia Super App akan menjadi rakan kongsi yang amat berharga kepada kami kerana kami mempunyai visi yang sama untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih baik, sambil meningkatkan taraf kehidupan para pemandu dan para peniaga kami. Selain itu, kerjasama ini akan membolehkan kami menumpu perniagaan di pasaran antarabangsa lain di Vietnam dan Singapura – pasaran yang dijangka akan memberikan pulangan pelaburan dan peluang pertumbuhan strategik yang terbaik kepada kami.”

Presiden airasia Digital, Aireen Omar, berkata bahawa kerjasama ini adalah bukti kejayaan transformasi digital airasia daripada sebuah syarikat penerbangan kepada airasia Super App iaitu aplikasi gaya hidup dan perjalanan sehenti.

“Apa yang telah kami capai pada tahun lalu amat luar biasa, termasuk mengatasi cabaran dalam mengubah mentaliti kakitangan kami yang dikenali sebagai Allstars daripada kakitangan sebuah syarikat penerbangan kepada syarikat digital. Kumpulan digital airasia terdiri daripada tiga buah syarikat digital utama, iaitu airasia Super App yang menyediakan platform gaya hidup untuk perjalanan, e-dagang, perkhidmatan kewangan, perkhidmatan kesihatan, teknologi pendidikan dan lain-lain. Kedua, usaha logistik kami yang dikenali sebagai Teleport, syarikat logistik e-dagang yang berkembang pesat, sedia untuk menawarkan perkhidmatan penghantaran menyeluruh, dan perkhidmatan penghantaran dalam masa 24 jam di seluruh Asia Tenggara. Ketiga, perniagaan teknologi kewangan kami iaitu airasia BigPay yang kini berada di landasan tepat untuk menjadi bank maya yang pertama di rantau ini.

“Kami teruja dengan masa depan syarikat yang bakal menjadi lebih maju dengan pelbagai jenis inovasi baharu dalam era digital ini yang sudah pasti akan memberi impak yang positif dalam kehidupan seharian  orang ramai.”

Sementara itu, bagi pihak pelabur utama AirAsia Thailand, Pengarah Eksekutif Asia Aviation Tassapon Bijleveld, berkata: “airasia adalah satu jenama yang besar di Thailand dan kami berbesar hati untuk mengesahkan kerjasama pada hari ini yang menawarkan manfaat jangka panjang kepada kakitangan, pemandu dan peniaga Gojek di Thailand. Selain  menyokong PKS tempatan dan pembekal makanan, kami juga akan mewujudkan lebih banyak peluang pendapatan untuk rakan penghantar di beberapa lokasi pasaran baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

“Rakyat Thailand menerima baik revolusi digital, aplikasi mudah alih dan perkhidmatan masa nyata termasuk e-dagang, teknologi kewangan dan hiburan dalam talian sebagai gaya hidup mereka. Saya percaya kami dapat memanfaatkan kejayaan yang telah dicapai oleh pasukan Gojek di Bangkok dan akan membawanya ke satu tahap yang lebih tinggi untuk memberikan kemudahan dan nilai yang lebih besar kepada rakyat Thailand.”

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)