Ajal Remaja Main TikTok

JAKARTA,. Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun maut akibat terkena renjatan elektrik ketika asyik merakam video TikTok di bumbung rumahnya di Bekasi, Indonesia.

Remaja berkenaan dilaporkan berada di atas bumbung bangunan tiga tingkat itu bersama tiga rakannya.

Media tempatan melaporkan, ketika leka merakamkan video, telefon bimbitnya dipercayai tiba-tiba terlepas daripada genggamannya dan terjatuh.

Secara spontan, mangsa cuba mencapai telefon bimbitnya namun dia terpegang kabel elektrik yang berada berhampiran bumbung bangunan berkenaan.

Renjatan elektrik itu menyebabkan sebahagian tubuh remaja itu terbakar dan berasap.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia serta-merta di lokasi kejadian.

Sementara itu, jurucakap polis Bekasi, Akta Wijaya mengesahkan kejadian itu dan jenazah mangsa dibawa ke Hospital Bekasi untuk bedah siasat.

“Sebahagian tubuh mangsa hangus terbakar terkena renjatan elektrik.

“Ya betul. Ketika kejadian mangsa berada di tingkat tiga rumahnya. Hasil pemeriksaan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat renjatan elektrik ketika berusaha mengambil telefon bimbitnya yang terjatuh antara kabel elektrik.

“Belum jelas ya. Berdasarkan keterangan saksi, setakat ini (penyebabnya) mangsa sedang bermain salah satu aplikasi di telefonnya,” jelas Akta.

Warga setempat bernama Isan Ferdian menceritakan kejadian itu berlaku jam 4 petang waktu tempatan.

“Belum jelas sama ada dia tergelincir atau mahu mengambil telefon bimbitnya. Mangsa dipercayai terpegang kabel elektrik dan meninggal dunia,” katanya. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )