Akademi bola sepak kebangsaan perlu patuh garis panduan ‘Return to Football’

Akademi bola sepak kebangsaan perlu patuh garis panduan ‘Return to Football’

KUALA LUMPUR,. Berdasarkan garis panduan ‘Return to Football’ yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), hanya pemain, pegawai pasukan dan akademi boleh mengikuti latihan di padang bagi akademi bola sepak negara.

Jika perlu, seorang ibu bapa atau penjaga dibenarkan berada di perkarangan tempat latihan namun perlu berada tiga meter dari padang dan mengamalkan penjarakan sosial antara satu sama lain.

Ibu bapa juga dinasihatkan agar menghadkan penggunaan kemudahan di perkarangan pusat latihan seperti ruang ganti pakaian pemain kecuali menggunakan tandas.

Menurut FAM dalam satu kenyataan hari ini, garis panduan ‘Return to Football’ itu selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dinasihatkan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“FAM juga turut menyediakan dua garis panduan protokol am berbeza iaitu individu dan pengurusan untuk dipatuhi sepanjang sesi latihan. Persediaan latihan juga dibahagikan mengikut umur, kumpulan dan luas kawasan padang. Waktu latihan setiap kumpulan juga adalah berbeza,” menurut kenyataan itu.

Akademi bola sepak negara juga dinasihatkan agar mendaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Perindustrian (MITI) untuk kelulusan operasi selama PKPP dan mendaftar akademi serta individu yang bertanggungjawab untuk pelaksanaan SOP dengan FAM di laman web http://bit.ly/famsopbm.

Pihak akademi perlu menyediakan serta menyebarkan pelaksanaan SOP mereka kepada ibu bapa dan pemain serta dalam masa sama melaporkan kepada FAM mengenai pelaksanaan SOP mereka di http://bit.ly/famreportbm.

FAM juga menasihatkan pemain dan jurulatih yang bergejala selepas latihan untuk melaporkan kepada pengurus akademi dengan segera serta mengelakkan hubungan dengan rakan sepasukan.

“Mereka yang bergejala diminta untuk mendapatkan rawatan perubatan dengan segera dan perlu melakukan kuarantin sendiri sehingga keputusan ujian disahkan.

“Dalam masa sama, akademi tidak dibenarkan beroperasi buat sementara waktu sehingga keputusan ujian bagi individu yang menunjukkan gejala COVID-19 disahkan dan sekiranya keputusan ujian menunjukkan kes positif, pihak akademi perlu mengikut semua arahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa dan FAM,” menurut kenyataan itu.

FAM berkata akademi perlu melakukan proses nyah kuman di sekitar tempat yang terdedah kepada individu positif COVID-19 dan tidak menggunakan tempat dibasmi kuman sehingga 24 jam.

“Jurulatih atau mana-mana pengurus akademi sesi latihan diminta mencatatkan perincian semua pemain yang hadir menggunakan borang yang disediakan. Setelah selesai, laporkan catatan kehadiran pemain akademi anda kepada FAM di http://bit.ly/famreportbm.

“Untuk terus memerangi COVID-19, FAM menyokong kerajaan Malaysia melalui Aplikasi MySejahtera dan sangat menggalakkan semua anggota komuniti bola sepak untuk mengikuti inisiatif ini,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )