AKSEM diletakkan di bawah PDRM

AKSEM diletakkan di bawah PDRM

IPOH,. Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) akan diletakkan di bawah tanggungjawab Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata, perkara itu telah diluluskan oleh kabinet dan pelaksanaan serta tugasan anggota AKSEM akan dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

“Anggota yang kita serapkan di bawah AKSEM adalah tanggungjawab PDRM, bukan seperti sebelum ini kita meminjam 50,100 (anggota) daripada agensi lain dan akhirnya arahan itu tidak dapat sampai ke bawah.

“Jadi, PDRM akan mengatur semula anggota mana yang patut diletakkan di bawah AKSEM, sama ada perlu atau tidak batalion tertentu di Semenanjung atau diletakkan untuk menjaga sempadan di sekitar Sabah dan Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Malaysia Prihatin Kementerian Dalam Negeri (KDN) semalam.

Hamzah berkata, PDRM juga akan menggunakan teknologi canggih untuk ditempatkan di pintu keluar masuk sempadan manakala kawalan secara fizikal akan digunakan di kawasan yang tidak boleh dilaksanakan menerusi teknologi.

Mengulas perkembangan lain, Hamzah berkata beliau telah meminta Abdul Hamid menghantar laporan penuh berhubung dakwaan kewujudan ‘kartel’ dalam PDRM serta gerakan dalaman pegawai muda yang mahu menjatuhkan Ketua Polis Negara itu.

“Saya telah menghubungi beliau (Abdul Hamid) dan mahu laporan penuh supaya kita boleh umumkan kepada rakyat selepas ini dengan jelas, kerana saya tidak mahu perkara-perkara yang samar-samar ini menimbulkan persepsi yang kurang baik,” katanya.

Abdul Hamid sebelum ini mendakwa wujud gerakan dalam kalangan pegawai muda PDRM untuk menjatuhkannya dan kumpulan itu juga mendalangi kartel dalam PDRM yang berhasrat mendominasi pasukan keselamatan negara tersebut demi kepen-tingan mereka.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )